Country Heights bantah tawaran RM91 juta daripada 23 Century beli Mines Waterfront Business Park | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Country Heights bantah tawaran RM91 juta daripada 23 Century beli Mines Waterfront Business Park

Mines Waterfront Business Park
Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 31 Dis – Lembaga Pengarah Country Heights Holdings Berhad (CHHB) menyuarakan kebimbangan serius berhubung cadangan baharu yang dikemukakan 23 Century International Life Science Centre Sdn Bhd kepada MBSB Bank Berhad berkaitan Mines Waterfront Business Park Sdn Bhd (dalam likuidasi).

 

Lembaga Pengarah CHHB dalam satu kenyataan memaklumkan MBSB Bank Berhad telah mengeluarkan surat rasmi kepada wakil Baker Tilly Insolvency PLT, Andrew Heng dan Kumarakuru A/L Jai Prakash Krishnan yang menyatakan bahawa 23 Century telah mengemukakan tawaran berjumlah RM91 juta dengan salinan surat turut dihantar kepada CHHB.

 

Menurut CHHB, ini bukan kali pertama 23 Century cuba membuat perjanjian bersama MBSB Bank.

 

“Sebelum ini 23 Century telah mengemukakan tawaran lisan RM50 juta. 

 

“Susulan itu, kami segera memberi respons bagi menegaskan kedudukan syarikat,” katanya dalam kenyataan tersebut.

 

Menurut Lembaga Pengarah, cadangan tersebut adalah secara jelas tidak sah dari segi undang-undang. 

 

“Sebarang percubaan untuk meneruskan atau mengiktiraf cadangan itu sebagai mengikat adalah bertentangan dengan Seksyen 524 dan 402 Akta Syarikat 2016. 

 

“Sebarang pelan tidak formal ini tidak boleh mengatasi proses insolvensi yang sedang berjalan atau pengawasan mahkamah.

 

“23 Century telah menamatkan penyewaan di Mines Waterfront Business Park pada 2024 dan sejak itu terus menduduki premis tanpa membayar sewa dengan tunggakan sekitar RM15 juta,” kata CHHB.

 

Dalam tempoh tersebut, 23 Century telah  menubuhkan 16 syarikat baharu dan terus menggunakan premis tersebut.

 

ARTIKEL BERKAITAN: Country Heights tolak ‘Pembubar Tidak Rasmi’ yang bukan dilantik sah oleh mahkamah

 

Sehubungan itu CHHB menegaskan, adalah salah dari segi undang-undang dan tidak wajar dari segi etika untuk membenarkan penyewa yang lama gagal membayar terlibat dalam perbincangan mengenai pelupusan aset bernilai tinggi. 

 

CHHB turut menegaskan ia tidak akan menyokong sebarang pelupusan aset yang menjejaskan nilai, memandangkan Mines Waterfront Business Park telah dinilai pada kira-kira RM239 juta pada 2023, jauh lebih tinggi berbanding tawaran RM91 juta yang dikemukakan oleh 23 Century.

 

Syarikat itu juga menjelaskan bahawa pendedahan tertunggak kepada MBSB Bank telah dijamin sepenuhnya melalui aset cagaran dengan nilai anggaran sekitar RM450 juta. 

 

“Selain itu, MBSB Bank memegang cagaran keseluruhan kira-kira RM600 juta daripada Kumpulan Country Heights, termasuk Mines International Exhibition & Convention Centre (MIECC), yang kini tertakluk kepada lelongan perintah mahkamah tanpa bantahan daripada CHHB.

 

“Keadaan ini menunjukkan tiada kekurangan pemulihan, tiada keperluan mendesak dan tiada justifikasi komersial untuk mempertimbangkan cadangan bernilai rendah daripada pihak yang gagal membayar.

 

“Lembaga pengarah menegaskan pendiriannya bahawa cadangan 23 Century tidak mempunyai asas undang-undang, dan penyewa yang gagal membayar tidak mempunyai kredibiliti untuk memimpin perbincangan mengenai pelupusan aset bernilai tinggi,” katanya.

 

CHHB menegaskan akan bertindak tegas bagi melindungi asetnya, menegakkan undang-undang dan tadbir urus yang betul, serta kekal komited terhadap ketelusan, pemeliharaan nilai dan pematuhan ketat terhadap piawaian undang-undang dan tadbir urus demi kepentingan pemegang saham serta pihak berkepentingan. - DagangNews.com