Cloudaron jual dua anak syarikat kepada Abelco Sweden dalam urus niaga saham RM38.5 juta | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Cloudaron jual dua anak syarikat kepada Abelco Sweden dalam urus niaga saham RM38.5 juta

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR, 6 Ogos – Cloudaron Group Bhd, syarikat teknologi yang tersenarai di Pasaran LEAP, mencadangkan penjualan dua anak syarikat utamanya kepada firma pelaburan kewangan Sweden, Abelco Investment Group AB, dalam satu urus niaga pertukaran saham bernilai €7.8 juta (RM38.45 juta).

 

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, Cloudaron berkata, ia telah memeterai perjanjian penjualan saham dengan Abelco  yang tersenarai di Nordic Growth Market  membabitkan pemindahan penuh pegangan dalam Cloudaron Pte Ltd (CPL) dan DACS Network Solutions Sdn Bhd, iaitu dua entiti utama perniagaan pembangunan perisian dan penyelesaian rangkaian milik kumpulan.

 

“Sebagai balasan, Cloudaron akan menerima 17.94 bilion saham Abelco pada harga terbitan 0.5 krona Sweden (kira-kira 22 sen) sesaham, mewakili 88.68% daripada modal saham Abelco yang telah dicairkan sepenuhnya.

 

“Cloudaron tidak berhasrat untuk memegang saham tersebut secara kekal, sebaliknya akan mengagihkannya terus kepada pemegang saham sedia ada menerusi langkah pengurangan modal sebanyak RM50 juta yang akan merendahkan modal saham daripada RM52.64 juta kepada RM2.64 juta dan meningkatkan keuntungan tertahan kepada RM39.94 juta.

 

“Jumlah itu mencukupi untuk menampung nilai saham Abelco yang bakal diagih,” katanya.

 

Agihan itu dijangka dilaksanakan secara nisbah 21.58 saham Abelco bagi setiap satu saham Cloudaron, berdasarkan jumlah saham beredar sebanyak 831.19 juta unit. 

 

Tarikh pelaksanaan agihan bagaimanapun masih belum ditentukan buat masa ini.

 

“Cadangan pengagihan ini membolehkan pemegang saham Cloudaron secara langsung menyertai potensi pertumbuhan Abelco, termasuk manfaat daripada integrasi strategik CPL dan DACS ke dalam ekosistemnya, serta sebarang pengagihan dividen masa depan oleh Abelco,” kata syarikat itu.

 

Pemilikan 88.68% dalam Abelco akan mewajibkan Cloudaron untuk membuat tawaran pengambilalihan mandatori. 

 

Bagaimanapun, oleh kerana ia tidak berhasrat untuk menyimpan saham tersebut, Cloudaron akan menghantar permohonan kepada Majlis Sekuriti Sweden untuk mendapatkan pengecualian daripada keperluan tersebut.

 

Urus niaga itu turut diklasifikasikan sebagai transaksi pihak berkaitan, memandangkan Pengerusi Cloudaron, Datuk Gan Nyap Liou @ Gan Nyap Liow juga adalah pengarah Abelco.

 

Beliau merupakan pemegang saham utama Cloudaron dengan pegangan 7.02% melalui entiti pelaburan PlanetBiz Investments Ltd, serta pemegang saham utama Abelco dengan pegangan 25.22% melalui jawatannya dalam Fatfish Group Ltd.

 

Sehubungan itu, MainStreet Advisers Sdn Bhd telah dilantik sebagai penasihat bebas bagi menasihati pengarah dan pemegang saham yang tidak berkepentingan dalam urus niaga tersebut.

 

Cloudaron turut mengakui penjualan CPL dan DACS akan menyebabkan kumpulan tidak lagi memiliki sebarang anak syarikat, justeru Bursa Malaysia mungkin menggantung dagangan saham dan menyenaraikannya untuk dinyahsenarai.

 

Namun begitu, syarikat menegaskan komitmennya untuk meneroka peluang pelaburan baharu, walaupun tiada rancangan pengambilalihan telah dikenal pasti setakat ini.

 

Untuk rekod, pada Disember 2023, DACS Network Solutions pernah menerima tawaran pengambilalihan 70% oleh Dataprep Holdings Bhd pada nilai RM10.5 juta, namun perjanjian tersebut dibatalkan secara bersama pada Jun 2024 selepas rundingan lanjut antara kedua-dua pihak.

 

Urus niaga dengan Abelco dijangka selesai menjelang suku keempat tahun ini.- DagangNews.com