KUALA LUMPUR 12 Ogos - Anak syarikat Classita Holdings Berhad, Caely (M) Sdn Bhd menyaman Koperasi Peserta-Peserta Felcra Malaysia Berhad bagi menuntut semula RM9.47 juta bayaran tertunggak untuk projek perumahan yang telah siap di Perak.
Projek bernilai RM69.04 juta itu dikenali sebagai Kampung Tersusun Generasi Kedua Felcra Seberang Perak telah dianugerahkan kepada Caely-M pada tahun 2013 dan disiapkan pada 3 Oktober 2022.
Caely-M melalui sebuah firma guaman telah mengeluarkan notis tuntutan bertarikh 23 Jun 2025 bagi menuntut bayaran tersebut. Namun begitu, Koperasi Felcra didakwa telah cuai dan gagal membuat bayaran tertunggak itu, katanya dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia.
Dalam tuntutannya, Caely-M menuntut RM301,996 bagi rumah contoh, RM9.17 juta untuk bayaran tertunggak, faedah tahunan sebanyak 5% dari tarikh penghakiman, kos guaman, dan lain-lain pampasan yang difikirkan wajar oleh mahkamah.

Classita menjadi tumpuan baru-baru ini selepas NexG Berhad yang dahulunya dikenali sebagai Datasonic Group Bhd, mengambil alih pegangan ekuiti sebanyak 32.61% serta 414.31 juta waran dalam kumpulan itu dengan bayaran tunai RM76.78 juta.
Hari ini, harga saham Classita naik ke paras tertinggi 10.5 sen — yang tertinggi sejak Ogos 2023 — sebelum menyusut kepada 10 sen pada waktu rehat tengah hari, masih meningkat satu sen, menjadikan nilai pasaran syarikat sebanyak RM123.28 juta. - DagangNews.com








