Citaglobal catat untung RM25.2 juta, buku tempahan RM1.4 bilion sokong pertumbuhan | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Citaglobal catat untung RM25.2 juta, buku tempahan RM1.4 bilion sokong pertumbuhan

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 28 Ogos – Citaglobal Berhad mencatatkan keuntungan selepas cukai dan kepentingan minoriti sebanyak RM25.2 juta bagi tempoh kewangan 18 bulan berakhir 30 Jun 2026 (FP2026), mengatasi keuntungan RM14.8 juta yang direkodkan pada tahun kewangan 2024 (FY2024).

 

Kumpulan itu turut mencatatkan hasil sebanyak RM606.2 juta bagi tempoh berkenaan, disokong terutamanya oleh perniagaan kejuruteraan awam dan pembinaan serta hartanah yang kekal sebagai penyumbang utama kepada pendapatannya.

 

Jika dikira secara tahunan, keuntungan bagi tempoh 18 bulan itu dianggarkan sekitar RM16.8 juta, kira-kira 13% lebih tinggi berbanding keuntungan yang dicatatkan pada FY2024.

 

Pendapatan sesaham asas Citaglobal bagi FP2026 pula berjumlah 5.60 sen, mencerminkan prestasi kumpulan yang terus disokong oleh perniagaan sedia ada di samping sumbangan daripada segmen telekomunikasi, tenaga dan pembuatan.

 

Pengerusi Eksekutif dan Presiden Citaglobal, Tan Sri Dr Mohamad Norza Zakaria berkata pencapaian keuntungan sebanyak RM25.2 juta itu menunjukkan strategi serta pelaksanaan kumpulan mula diterjemahkan kepada pertumbuhan pendapatan yang boleh terus dibina pada masa hadapan.

 

Kejuruteraan Dan Hartanah Terus Jadi Pemacu Utama

Segmen kejuruteraan awam dan pembinaan kekal sebagai penyumbang hasil terbesar Citaglobal dengan menjana RM292.1 juta, bersamaan kira-kira 48.2% daripada keseluruhan hasil kumpulan bagi FP2026.

 

Segmen hartanah pula menyumbang RM129.3 juta, manakala aktiviti telekomunikasi menjana kira-kira RM65.4 juta sejajar dengan usaha kumpulan memperluaskan kehadirannya dalam pembangunan infrastruktur digital.

 

Perniagaan tenaga menyumbang RM62.1 juta kepada hasil kumpulan, manakala segmen pembuatan pula mencatatkan sumbangan sebanyak RM56 juta sepanjang tempoh kewangan tersebut.

 

Bagi suku berakhir 30 Jun 2026, Citaglobal mencatatkan hasil RM214.2 juta, lebih tiga kali ganda berbanding RM67 juta yang direkodkan pada suku sebelumnya, dipacu oleh peningkatan sumbangan daripada segmen hartanah dan kejuruteraan awam serta pembinaan.

 

Dalam tempoh suku berkenaan, segmen hartanah menyumbang RM107.4 juta, diikuti kejuruteraan awam dan pembinaan sebanyak RM55.5 juta, telekomunikasi RM31.7 juta, manakala tenaga dan pembuatan masing-masing menyumbang RM8.8 juta.

 

Kumpulan mencatatkan keuntungan selepas cukai dan kepentingan minoriti sebanyak RM7.3 juta bagi suku tersebut.

 

t
Mohamad Norza Zakaria

 

Buku Tempahan RM1.4 Bilion Beri Gambaran Pendapatan Masa Depan

Menurut Mohamad Norza, keutamaan segera Citaglobal kini adalah melaksanakan buku tempahan bernilai kira-kira RM1.4 bilion yang telah diperoleh kumpulan dan menukarkan projek tersebut kepada hasil, keuntungan serta aliran tunai mengikut jadual.

 

Sehingga 30 Jun 2026, Citaglobal mempunyai buku tempahan tertunggak kira-kira RM1.4 bilion yang memberikan gambaran terhadap potensi pendapatan kumpulan bagi tempoh sederhana.

 

Pada suku berakhir 30 Jun 2026, kumpulan turut memperoleh subkontrak bernilai RM37.8 juta bagi projek Transit Aliran Ringan (LRT) Mutiara Pulau Pinang yang mengukuhkan lagi portfolio projek infrastrukturnya.

 

Mohamad Norza berkata, perniagaan kejuruteraan awam dan pembinaan serta hartanah akan terus menjadi asas kepada pendapatan Citaglobal, namun kumpulan itu pada masa sama sedang membangunkan platform tenaga baharunya termasuk peluang dalam tenaga boleh diperbaharui dan Bio-CNG.

 

Usaha itu merupakan sebahagian daripada strategi jangka panjang Citaglobal untuk membina platform infrastruktur yang lebih kukuh, pelbagai dan berdaya tahan, dengan meningkatkan sumbangan daripada sumber pendapatan berulang serta lebih stabil pada masa hadapan.

 

Tenaga Baharu Dan Pendapatan Berulang Jadi Tumpuan

Selain perniagaan pembinaan dan hartanah, Citaglobal terus mengembangkan inisiatif strategiknya dalam bahagian tenaga baharu, telekomunikasi dan alam sekitar, termasuk pembangunan tenaga boleh diperbaharui, projek Bio-CNG serta infrastruktur sambungan digital.

 

Kumpulan melihat pembangunan perniagaan tersebut sebagai komponen penting dalam strategi jangka panjangnya kerana ia dapat melengkapkan pendapatan berasaskan projek sedia ada dengan perniagaan yang berpotensi menjana hasil lebih mampan dan berulang.

 

Melangkah ke hadapan, Citaglobal kekal berhati-hati tetapi optimis terhadap prospeknya, disokong oleh buku pesanan yang besar, pelaburan berterusan dalam infrastruktur serta peluang yang muncul daripada agenda peralihan tenaga Malaysia.

 

Kumpulan itu berkata, tumpuannya akan terus diberikan kepada pelaksanaan projek secara berdisiplin, pertumbuhan keuntungan, pengurusan modal yang berhemat serta pembangunan perniagaan berasaskan pendapatan berulang, khususnya menerusi platform tenaga baharunya.

 

Dengan keuntungan FP2026 yang mengatasi FY2024, buku tempahan tertunggak RM1.4 bilion, jumlah aset melebihi RM1 bilion dan aset bersih sesaham sebanyak RM1.02, Citaglobal memasuki tahun kewangan baharu dengan asas yang lebih kukuh untuk melaksanakan projek sedia ada dan meneruskan pertumbuhan perniagaannya. - DagangNews.com