KUALA LUMPUR 12 Ogos – Citaglobal Bhd memeterai perjanjian untuk mengambil alih 70% pegangan dalam dua projek hidroelektrik di Perak dengan nilai keseluruhan RM15 juta, bagi memperluaskan segmen tenaga boleh diperbaharui syarikat itu.
Pengambilalihan itu dilaksanakan melalui anak syarikat milik penuhnya, Citaglobal Renewable Energy Sdn Bhd, melibatkan pembelian 70% kepentingan dalam Zeqna Corporation Sdn Bhd berharga RM15 juta, serta pembelian bersyarat 70% pegangan dalam Koridor Mentari Sdn Bhd pada harga RM1.
Perjanjian bagi Koridor Mentari tertakluk kepada penyempurnaan pengambilalihan Zeqna.
Baki 30% pegangan dalam kedua-dua syarikat kekal dimiliki oleh Perak Hydro Renewable Energy Corporation Sdn Bhd (PHREC), yang memiliki hak penggunaan air daripada kerajaan negeri Perak untuk pembangunan projek mini hidroelektrik.
Menurut Citaglobal, langkah strategik ini membolehkan kumpulan menjana pendapatan serta-merta menerusi Loji Hidro Slim berkapasiti 6MW yang beroperasi sejak Julai 2019 di Slim, Perak.
Loji Hidro Kampar pula, yang telah mendapat semua kelulusan negeri dan kelulusan Feed-in Approval (FiA) baharu pada 25 Julai 2025, dijangka memberi pulangan signifikan dalam tempoh terdekat.
Kelulusan baharu itu meningkatkan kapasiti projek daripada 5.25MW kepada 6.0MW, selain menetapkan tarif 34 sen setiap kWh untuk 10 tahun pertama dan 32.4 sen setiap kWh bagi 11 tahun berikutnya, berbanding kadar terdahulu 24.99 sen setiap kWh.
Kedua-dua aset tersebut dijangka menjana sehingga RM19 juta pendapatan berulang tahunan di bawah Perjanjian Pembelian Tenaga Boleh Diperbaharui (REPPA) dengan Tenaga Nasional Bhd sekali gus mengukuhkan asas pendapatan Citaglobal pada masa akan datang.
Pengerusi Eksekutif merangkap Presiden Citaglobal, Tan Sri Mohamad Norza Zakaria berkata, Loji Hidro Slim akan menjadi sumber pendapatan berulang segera, manakala Loji Hidro Kampar pula berpotensi memberikan nilai jangka panjang yang luar biasa hasil peningkatan kapasiti dan tarif baharu.
“Kedua-duanya menyediakan platform seimbang untuk mengembangkan portfolio tenaga bersih kami, yang turut merangkumi projek solar, sisa-ke-tenaga dan penyimpanan tenaga bateri,” katanya. - DagangNews.com








