CIMB, Weixin Pay jalin kerjasama strategik perkasa pembayaran rentas sempadan pelancong China | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

CIMB, Weixin Pay jalin kerjasama strategik perkasa pembayaran rentas sempadan pelancong China

Oleh HAZIQ HAKIMI

KUALA LUMPUR 23 Dis – CIMB Bank Berhad dan CIMB Islamic Bank Berhad menjalin kerjasama strategik dengan Weixin Pay atau lebih dikenali WeChat Pay bagi memperkasa pembayaran rentas sempadan dan membantu peniaga tempatan memanfaatkan peningkatan ketibaan pelancong China ke Malaysia.

 

Kerjasama itu dilaksanakan menerusi penyelesaian khusus Program Mini Weixin, yang membolehkan peniaga bersekutu CIMB memperluaskan capaian perniagaan secara digital, meningkatkan keterlihatan dalam kalangan pengguna China serta menawarkan pengalaman pembayaran yang lancar dan diyakini.

 

Dalam kenyataan hari ini, CIMB berkata inisiatif itu mencerminkan komitmennya untuk memperkukuh transaksi rentas sempadan serta membolehkan peniaga tempatan menawarkan pengalaman pembayaran yang mudah kepada pengguna Weixin Pay, antara platform pembayaran digital paling meluas di China.

 

Menurut CIMB, integrasi program berkenaan dengan Weixin Pay membolehkan peniaga di Malaysia mempamerkan tawaran mereka secara digital, berinteraksi dengan pelancong China sebelum ketibaan ke negara ini serta memudahkan transaksi di kedai melalui DuitNow QR.

 

“Ekosistem menyeluruh ini mewujudkan kemudahan kepada pelancong dan pada masa sama memberikan kelebihan daya saing kepada peniaga Malaysia, khususnya dalam sektor runcit, makanan dan minuman serta hospitaliti,” katanya.

 

Ketua Perbankan Pengguna CIMB Malaysia, Daniel Cheong berkata, kerjasama tersebut selari dengan tujuan CIMB untuk memajukan pelanggan dan masyarakat melalui pengukuhan kesalinghubungan rentas sempadan.

 

“Kerjasama ini menzahirkan usaha CIMB dalam memacu keterhubungan rentas sempadan dan mewujudkan peluang yang memberi manfaat kepada komuniti serta perniagaan. Dengan menggabungkan keupayaan digital CIMB dan jangkauan global Weixin Pay, kami membolehkan peniaga tempatan mendekati pelancong bernilai tinggi dan mengambil bahagian secara lebih menyeluruh dalam ekonomi digital,” katanya.

 

Menurut beliau, menerusi Program ini, peniaga memperoleh akses kepada platform yang biasa digunakan oleh pengguna China, sekali gus memudahkan pelancong menemui, berinteraksi dan berurus niaga dengan lancar walaupun sebelum tiba di Malaysia.

 

Sementara itu, Penolong Pengarah Serantau Asia Tenggara Weixin Pay, David Chong berkata, Malaysia menjadi antara pasaran tumpuan utama bagi pengembangan program tersebut, didorong oleh permintaan tinggi daripada perniagaan tempatan untuk mendekati pelancong China menerusi saluran digital.

 

“Kerjasama dengan CIMB ini merupakan satu pencapaian penting dalam usaha kami membangunkan ekosistem Weixin Pay di Malaysia, merangkumi inovasi pembayaran serta sokongan kepada peniaga,” katanya.

 

Menurut laporan Kementerian Pelancongan, Malaysia menerima hampir 1.8 juta pelancong dari China dalam tempoh lima bulan pertama 2025 dan angka itu dijangka terus meningkat. 

 

CIMB berkata, kerjasama ini bertepatan dengan musim puncak perjalanan pelancong China serta menyokong kempen Tahun Melawat Malaysia 2026, sekali gus membuka peluang lebih luas kepada perbelanjaan rentas sempadan.

 

Mulai 1 Januari 2026, peniaga yang menyertai program ini akan menerima halaman peniaga khusus dalam ekosistem Weixin Pay bagi mempamerkan produk dan perkhidmatan mereka. 

 

Peniaga turut mendapat manfaat daripada keterlihatan tinggi, penemuan berasaskan lokasi, kempen promosi serta akses kepada data trafik dan minat pembelian pengguna.

 

CIMB menambah, program itu membantu peniaga mengatasi kekangan lazim seperti kos integrasi yang tinggi, keperluan teknikal yang kompleks serta keterlihatan terhad dalam kalangan pengguna China melalui proses penyertaan yang lebih mudah dan kos yang lebih efisien. 

 

Inisiatif ini sekali gus membolehkan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) serta destinasi runcit utama bersaing secara lebih berkesan dalam pasaran serantau berasaskan digital. - DagangNews.com