CIMB sedia kemudahan pembiayaan hingga RM500,000 kepada pengusaha stesen minyak seluruh negara | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

CIMB sedia kemudahan pembiayaan hingga RM500,000 kepada pengusaha stesen minyak seluruh negara

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 15 Okt – CIMB Bank Berhad dan CIMB Islamic Bank Berhad melancarkan Program Pengedar Stesen Minyak, satu inisiatif sokongan kewangan menyeluruh yang direka khas untuk membantu pengusaha stesen minyak di seluruh negara.

 

Program ini dibangunkan melalui kerjasama rapat dengan Persatuan Pengusaha Stesen Minyak Malaysia (PDAM) bagi menyediakan kemudahan pembiayaan, pengurusan tunai dan khidmat nasihat perniagaan susulan pelaksanaan dasar rasionalisasi subsidi bahan api.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Bersama Kumpulan Perbankan Komersial dan Transaksi CIMB, Lawrence Loh berkata, pelancaran program ini adalah sebahagian daripada komitmen CIMB untuk menyokong rangkaian pengedaran petrol negara yang sebahagian besarnya digerakkan oleh perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

 

“Ketika industri menyesuaikan diri dengan mekanisme harga bahan api apungan, CIMB kekal komited menyokong ekosistem ini melalui Program Pengedar Stesen Minyak.

 

“Program ini bukan sahaja membantu menangani keperluan aliran tunai segera, malah memperkukuh daya tahan jangka panjang pengusaha supaya mereka dapat terus berdaya saing dalam landskap pasaran yang sentiasa berubah. 

 

“Melalui program menyeluruh ini, kami bukan sahaja menyokong kelestarian perniagaan pelanggan, tetapi juga memperkukuh peranan mereka sebagai sebahagian penting dalam ekosistem minyak dan gas negara,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

 

Sementara itu, Presiden PDAM, Datuk Khairul Annuar Abdul Aziz berkata, program ini merupakan satu inisiatif strategik dan tepat pada masanya bagi menyokong industri stesen minyak tempatan.

 

“Ini adalah langkah positif bagi memastikan kelangsungan jangka panjang pengusaha stesen minyak, terutama ketika kita menyesuaikan diri dengan perubahan hasil daripada rasionalisasi subsidi. 

 

“Dengan kemudahan modal kerja yang berpatutan, program ini akan membantu pengusaha mengurus aliran tunai dengan lebih baik sambil memperkukuh daya tahan kewangan untuk masa depan,” katanya.

 

Program ini menawarkan pelbagai bentuk sokongan melalui penawaran pelbagai produk CIMB yang merangkumi kemudahan pembiayaan perniagaan dan penyelesaian tunai. 

 

Ini membolehkan pengusaha memilih pakej fleksibel mengikut skala dan keperluan operasi masing-masing.

 

t

 

Antara kemudahan utama yang diperkenalkan ialah Cashline-i, iaitu kredit sedia ada tanpa cagaran pada kadar kompetitif dengan pembiayaan sehingga RM500,000, bergantung kepada jualan bahan api bulanan. 

 

Skim ini direka untuk membantu pengusaha mengurus aliran tunai harian serta mengurangkan tekanan kos operasi.

 

Sebagai pelengkap, CIMB turut menawarkan kadar istimewa melalui Daily Investment Account-i (DIA-i) sebagai sebahagian daripada penyelesaian tunai yang membolehkan pengusaha mengoptimumkan pulangan dana operasi serta memperkukuh daya tahan kewangan jangka panjang.

 

Selain modal kerja dan penyelesaian tunai, CIMB turut menyediakan khidmat nasihat perniagaan dengan memberi panduan mengenai penggunaan tenaga boleh diperbaharui dan amalan perniagaan mampan. 

 

Melalui kemudahan Low Carbon Transition Facility-i, pengusaha boleh memasang panel solar di stesen minyak masing-masing untuk meningkatkan kecekapan tenaga dan penjimatan kos dalam jangka panjang.

 

Langkah-langkah ini mencerminkan komitmen CIMB untuk menyokong peralihan operasi pengusaha stesen minyak dengan penyelesaian praktikal bagi membantu mereka kekal berdaya saing serta memperkukuh operasi perniagaan.

 

CIMB merupakan salah satu kumpulan perbankan terkemuka di ASEAN dan penyedia perkhidmatan kewangan kedua terbesar di Malaysia dari segi aset.

 

Tersenarai di Bursa Malaysia melalui CIMB Group Holdings Berhad, kumpulan ini mempunyai modal pasaran sekitar RM73.0 bilion setakat 30 Jun 2025. - DagangNews.com