KUALA LUMPUR 9 Okt - CIMB Securities memulakan liputan terhadap pengeluar kondom, Karex Berhad dengan saranan "beli" pada harga sasaran (TP) RM1.60 sesaham disokong pengeluaran besar-besaran kondom sintetik nitril.
Katanya, rakan kongsi global eksklusif Karex (Pelanggan D) kini meluaskan rangkaian pengedaran ke 18 negara, dengan pelancaran global penuh sedang dijalankan.
“Perkembangan ini menandakan peralihan daripada fasa pelaburan penyelidikan dan pembangunan (R&D) kepada fasa penjanaan pendapatan, memandangkan kapasiti pengeluaran kondom nitril dijangka meningkat lima kali ganda kepada 900 juta unit setahun menjelang akhir Jun tahun kewangan 2028 (FY28),” katanya dalam satu nota kajian.
Firma penyelidikan itu berkata, Karex berada dalam kedudukan terbaik untuk memanfaatkan kelebihan sebagai peneraju awal dalam segmen kondom sintetik nitril, disokong harga premium serta margin kasar melebihi 50% bagi produk tersebut.
CIMB Securities mengunjurkan kadar pertumbuhan tahunan terkompaun (CAGR) keuntungan bersih teras selama tiga tahun sebanyak 91.3% bagi tempoh FY25 hingga FY28.
Katanya, keuntungan Karex telah mencecah paras terendah pada FY2025, selepas terkesan oleh gabungan faktor struktur dan kitaran, termasuk kos awal R&D serta pensijilan bagi produk kondom nitrilnya.
Melangkah ke hadapan, firma penyelidikan itu berkata, FY25 merupakan titik perubahan operasi penting bagi Karex, dengan penutupan penuh perniagaan sarung tangan, tekanan tukaran mata wang asing yang berkurangan berikutan penyusutan ringgit yang semakin stabil, serta operasi teras kondom yang kini lebih kukuh.
“Dengan tekanan sementara ini semakin reda, FY25 menandakan kedua-dua titik dasar dan titik perubahan — menamatkan beban legasi lama dan membuka ruang kepada kitaran pertumbuhan berbilang tahun, diterajui oleh kondom sintetik nitril yang berpotensi mengubah landskap pasaran," katanya.
CIMB Securities berkata, walaupun Karex mempunyai permodalan pasaran yang lebih kecil, sasaran gandaan harga kepada pendapatan (PE) syarikat adalah selaras dengan purata wajaran PE 2027 bagi syarikat global dalam segmen kesihatan intim iaitu 18.8 kali.
“Pada hanya 10 kali PE bagi tahun kalendar 2027, penilaian Karex masih dianggap rendah berbanding prospek pertumbuhan unggulnya, sambil menawarkan hasil dividen yang menarik antara 1.9% hingga 5.9%," katanya.- DagangNews.com








