KUALA LUMPUR 6 Jan – Sebanyak 14 pemegang sukuk Lebuhraya MEX II memfailkan saman berjumlah RM1.38 bilion terhadap CIMB Investment Bank Bhd (CIMB IB) dan 11 pihak lain ekoran kerugian yang didakwa dialami akibat kegagalan menyiapkan projek lebuh raya tersebut.
Menurut makluman CIMB Group Holdings Bhd kepada Bursa Malaysia, saman itu difailkan oleh pemegang sukuk murabahah yang diterbitkan oleh MEX II Sdn Bhd.
Para pelabur mendakwa mereka mengalami kerugian selepas projek Lebuhraya MEX II berdepan masalah kewangan, gagal membayar balik hutang dan akhirnya masih terbengkalai.
Kes berkenaan telah difailkan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur dengan dokumen saman yang dipinda diserahkan kepada CIMB IB pada 2 Januari 2026.
Selain CIMB IB, defendan lain ialah MEX II; Maju Lingkaran Development Sdn Bhd; Maju Holdings Sdn Bhd; Tan Sri Abu Sahid Mohamed, isteri dan anaknya; Datuk Yap Wee Leong; TMF Trustees Malaysia Bhd; Crowe Malaysia PLT; syarikat bersekutu HSS Engineers Bhd (KL:HSSEB) yang dimiliki 30%, HSS Integrated Sdn Bhd; serta Straits Consulting Engineers Sdn Bhd.
Saman tersebut melibatkan kesemua pihak yang berkaitan secara langsung dengan pelaksanaan dan pembiayaan projek berkenaan.
Pemegang sukuk mendakwa CIMB IB, selaku penasihat utama, pengatur dan pengurus penerbitan sukuk, gagal memastikan dana yang mencukupi disediakan dan diurus dengan baik bagi menyiapkan projek lebuh raya tersebut.
Kegagalan ini didakwa menyebabkan dana projek tidak mencukupi yang menjejaskan pembinaan lebuh raya dan menimbulkan kerugian kepada pelabur.
Sehubungan itu, pemegang sukuk menuntut mahkamah memutuskan bahawa semua defendan bertanggungjawab secara bersama terhadap kerugian yang dialami.
Jumlah tuntutan dianggarkan mencecah RM1.38 bilion, atau apa-apa jumlah lain yang dianggap sesuai oleh mahkamah.

Bagaimanapun, CIMB menegaskan saman tersebut tidak dijangka memberi kesan material terhadap operasi atau kedudukan kewangan kumpulan.
“CIMB IB telah melaksanakan tugas dan tanggungjawabnya mengikut undang-undang serta terma perjanjian yang ditetapkan.
“CIMB IB akan mempertahankan pendirian dan telah melantik peguam untuk memberi nasihat berhubung saman tersebut,” katanya.
14 pemegang sukuk yang memulakan saman itu ialah Credit Guarantee Corporation Malaysia Bhd; Amanah Raya Bhd; Syarikat Takaful Malaysia Keluarga Bhd; Syarikat Takaful Malaysia Am Bhd; Zurich Life Insurance Malaysia Bhd; Zurich Takaful Malaysia Bhd; RHB Asset Management Sdn Bhd; RHB Islamic International Asset Management Bhd; Maybank Trustees Bhd; Amanahraya Trustees Bhd; HSBC (Malaysia) Trustee Bhd; AHAM Asset Management Bhd; AIIMAN Asset Management Sdn Bhd; dan OPUS Asset Management Sdn Bhd.
Untuk rekod, sukuk Lebuhraya MEX II diterbitkan pada 2016 bagi membiayai pembinaan lebuh raya berkembar tiga lorong sepanjang 16.8 kilometer yang menghubungkan Putrajaya dengan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA dan KLIA 2).
Projek tersebut pada asalnya dijadualkan siap pada 2018 sebelum tarikh siap ditangguhkan ke 2019.
Namun sehingga kini, lebuh raya berkenaan masih belum disiapkan.
MEX II mula berdepan masalah kewangan pada 2021 apabila gagal membuat pembayaran prinsipal dan keuntungan kepada pemegang sukuk.
Walaupun beberapa lanjutan tempoh telah diberikan, pembayaran masih tidak dapat dilaksanakan, menyebabkan sukuk berkenaan digantung pada akhir tahun sama.
Susulan kegagalan pembayaran dan usaha penstrukturan semula yang tidak berjaya, MEX II telah diletakkan di bawah pentadbiran penerima pada 2022.
Sehingga kini, projek Lebuhraya MEX II kekal terbengkalai.
Menurut laporan The Edge Malaysia, 14 pemegang sukuk yang memfailkan saman itu memegang kira-kira RM563.2 juta atau 43.33% daripada keseluruhan sukuk murabahah bernilai RM1.3 bilion yang diterbitkan bagi membiayai projek tersebut.








