KUALA LUMPUR 4 Dis – Seramai 1,168,104 personel binaan yang berdaftar dengan Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) kini menjadi kumpulan perintis kepada pelaksanaan Kad Pendaftaran Personel Binaan baharu, iaitu kad hijau versi digital yang menggabungkan identiti biometrik, rekod kerja dan sistem gaji tanpa tunai dalam satu platform bersepadu.
CIDB dalam kenyataan hari ini memaklumkan, inisiatif tersebut menandakan peralihan besar sektor pembinaan ke arah pendigitalan menyeluruh yang merangkumi pengesahan identiti, pengurusan kehadiran, akses kewangan dan sistem gaji bersepadu di peringkat nasional.
Kad baharu itu dilancarkan oleh Menteri Kerja Raya yang turut menjalankan tugas sebagai Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi, menyifatkannya sebagai satu lonjakan penting bagi tadbir urus industri pembinaan negara.
Di bawah Akta CIDB (Akta 520), pendaftaran personel binaan adalah diwajibkan.
Daripada jumlah 1,168,104 personel yang berdaftar, seramai 710,582 adalah pekerja tempatan, manakala 457,522 merupakan pekerja asing, sekali gus menggambarkan skala sebenar tenaga kerja dalam sektor ini.
Kad CIDB baharu ini bukan sekadar kad pengenalan fizikal, sebaliknya mengintegrasikan rekod digital melalui Sistem Pengurusan Maklumat Pembinaan (CIMS CIDB) serta fungsi E-Wallet bagi transaksi kewangan dan pengurusan gaji.
Menurut CIDB, sistem e-Wages yang diperkenalkan membolehkan majikan memuat naik data gaji melalui pemindahan pukal IBG terus daripada sistem penggajian masing-masing.
Pembayaran kemudiannya dikreditkan ke dalam akaun maya pekerja dan dipaparkan menerusi E-Wallet.
“Pendekatan ini memastikan bayaran gaji diterima tepat pada masanya, boleh dijejaki dan direkod secara sistematik, di samping mengurangkan isu pertikaian gaji,” kata CIDB.
Sehingga kini, projek perintis e-Wages telah dilaksanakan bersama lima syarikat pembinaan, melibatkan 279 orang pekerja, iaitu WCT Berhad, RNC Integral Concrete Technology (M) Sdn Bhd, Can-I Interior Fit-Out Sdn Bhd, Symbolic Infotech Engineering Sdn Bhd dan Yu Construction Sdn Bhd.
Melalui ciri E-Wallet, pekerja turut mendapat akses kepada perkhidmatan pemindahan wang tempatan dan antarabangsa, pembayaran bil, tambah nilai mudah alih serta ganjaran digital.
Menurut CIDB, ciri ini memberi manfaat besar terutamanya kepada pekerja asing yang sering berdepan cabaran menerima gaji tepat pada masanya serta menghantar wang ke negara asal.
Selain itu, aplikasi ini turut memperkenalkan sistem kehadiran digital di tapak binaan menggunakan imbasan kod QR bagi menggantikan buku log manual.
Kehadiran pekerja direkodkan secara masa nyata, sekali gus memudahkan pengesahan identiti serta pemantauan tenaga kerja di tapak projek.
“Melalui sistem ini, pihak industri dapat mengetahui siapa yang berada di tapak binaan, lokasi mereka serta tempoh kehadiran masuk dan keluar secara tepat,” menurut CIDB.
Dalam jangka panjang, data yang dikumpul melalui Kad Pendaftaran Personel Binaan Baharu ini akan disepadukan ke dalam Sistem Produktiviti Pembinaan (CPS) yang bakal diperkenalkan dan akan merangkumi maklumat jumlah jam bekerja, pergerakan tenaga kerja, trend produktiviti, pematuhan Kad Hijau dan prestasi projek.
Sebagai sebahagian daripada ekosistem pelaksanaan, Construction Labour Exchange Centre Berhad (CLAB), anak syarikat CIDB, akan memainkan peranan utama dalam mempromosi penggunaan sukarela ciri-ciri digital menerusi kad ini, di samping berfungsi sebagai pusat sehenti pengurusan tenaga kerja asing sektor pembinaan bagi tempoh lima tahun akan datang.
Alexander berkata, inisiatif ini merupakan pendigitalan yang berteras matlamat bagi meningkatkan kecekapan serta perlindungan kebajikan pekerja binaan di Malaysia.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada CIDB Malaysia, CLAB, Bayo Pay dan MBSB Bank atas sumbangan dalam membangunkan asas teknologi sistem E-Wallet tersebut, sambil menyeru semua kontraktor dan pemaju untuk memberi sokongan penuh kepada pelaksanaannya. - DagangNews.com








