CIDB lancar Aspirasi TVET Pembinaan Nogori 2025 buka laluan kerjaya pelajar tahfiz, asnaf | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

CIDB lancar Aspirasi TVET Pembinaan Nogori 2025 buka laluan kerjaya pelajar tahfiz, asnaf

Oleh HAZIQ HAKIMI

KUALA LUMPUR 8 Dis – Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB) melancarkan Program Aspirasi TVET Pembinaan Nogori Bersama Komuniti 2025 menghimpunkan lebih 300 peserta di Sendayan, Negeri Sembilan. 

 

Ia sebagai inisiatif utama membuka laluan kerjaya baharu kepada golongan belia, pelajar tahfiz dan komuniti asnaf di negeri tersebut melalui latihan TVET sektor pembinaan yang diiktiraf industri.

 

Program berlangsung di D’Tempat Country Club itu membabitkan kepimpinan kerajaan negeri, rakan industri, institusi latihan dan pertubuhan komuniti, meliputi sesi motivasi, pembelajaran serta kerjasama berasaskan komuniti (CSR).

 

Ketua Eksekutif CIDB, Zainora Zainal, berkata, program berkenaan menjadi platform penting dalam membangunkan tenaga kerja mahir tempatan yang bersedia memenuhi keperluan sektor pembinaan negara.

 

“CIDB melihat inisiatif ini sebagai saluran strategik dalam melahirkan tenaga kerja yang menepati kehendak industri. Negeri Sembilan dipilih kerana pertumbuhan sektor pembinaannya yang pesat khususnya di Seremban, Sendayan, Nilai dan Port Dickson,” katanya dalam kenyataan hari ini.

 

Menurut CIDB, Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Negeri Sembilan meningkat daripada RM40.2 bilion pada 2015 kepada RM54.3 bilion pada 2024, mencerminkan fasa pertumbuhan pantas negeri itu, didorong sektor pembinaan, perumahan dan infrastruktur.

 

Seiring lonjakan tersebut, permintaan tenaga mahir TVET meningkat secara drastik, dengan graduan TVET kini menjadi komponen penting bagi memastikan projek pembangunan dilaksanakan secara cekap dan selamat.

 

Zainora berkata, penyertaan belia dalam TVET bersama komitmen kerajaan negeri menunjukkan potensi besar Negeri Sembilan sebagai pembekal tenaga mahir utama negara.

 

Dalam majlis sama, Nota Kerjasama (NoU) dimeterai antara Akademi Binaan Malaysia (ABM) Wilayah Tengah dan Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS) bagi menyediakan akses latihan TVET lebih tersusun kepada belia tahfiz, golongan asnaf serta peserta program Suai Khas.

 

CIDB Negeri Sembilan turut menyalurkan sumbangan zakat berjumlah RM57,340 kepada MAINS.

 

Selain itu, satu projek CSR khas diumumkan melibatkan kerja naik taraf Masjid Kariah Titian Bitangor, Rembau dengan peruntukan kira-kira RM50,000, yang dijangka siap dalam tempoh dua minggu.

 

Menurut CIDB, pelaksanaan projek di bawah MVV 2.0 seperti Taman Perindustrian Hamilton di Nilai, TOD Sunway Seremban Sentral dan Zon Bebas Port Dickson telah mewujudkan ribuan peluang pekerjaan berkemahiran setiap tahun dalam bidang Industrialized Building System (IBS), mekanikal dan elektrik, operasi jentera serta kimpalan dan perpaipan.

 

Permintaan tenaga kompeten turut meliputi sektor automasi perkilangan, pengilangan pintar, pengurusan fasiliti, ‘retrofitting’ hijau serta pendigitalan industri pembinaan seperti BIM, dron dan IoT.

 

Pengarah CIDB Negeri Sembilan, Mashitah Mohd Mokhtar, berkata pembangunan pesat bandar utama negeri itu perlu diisi oleh belia tempatan sendiri.

 

“Syarikat mahu belia Negeri Sembilan mempunyai akses kepada latihan berkualiti supaya mereka mampu mengisi peluang pekerjaan yang terhasil daripada pertumbuhan ekonomi negeri,” katanya.

 

Beliau menambah, melalui latihan berstruktur dan pensijilan industri oleh ABM, belia bukan sahaja bersedia bekerja malah mampu mengurus pasukan serta membina kerjaya jangka panjang dalam sektor pembinaan. - DagangNews.com