China dijangka beralih kepada minyak sawit sebagai alternatif kepada kacang soya, kata HLIB | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

China dijangka beralih kepada minyak sawit sebagai alternatif kepada kacang soya, kata HLIB

Oleh 'AINA SYAZWINA

KUALA LUMPUR 17 April – Ketegangan perdagangan antara Amerika Syarikat (AS) dan China yang semakin memuncak dijangka mendorong Beijing untuk meningkatkan penggunaan minyak sawit sebagai alternatif kepada kacang soya, sekali gus berpotensi merancakkan permintaan terhadap komoditi tersebut.

 

Hong Leong Investment Bank (HLIB) Research bagaimanapun menjangkakan impak positif itu mungkin terhad berikutan ketidaktentuan permintaan global yang dipacu oleh tarif dikenakan AS serta penurunan harga minyak mentah dunia.

 

"AS kini mengenakan tarif sebanyak 145% keatas barangan dari China, manakala China pula menetapkan tarif 125% terhadap produk AS.

 

"Walaupun keadaan semasa masih berubah-ubah termasuk penangguhan tarif selama 90 hari oleh AS ke atas kebanyakan negara kecuali China, ketegangan perdagangan antara kedua-dua kuasa besar ini dijangka menyebabkan perubahan aliran dagangan dalam sektor minyak sayuran," katanya dalam satu nota kajian.

 

HLIB turut meramalkan China terus mengurangkan kebergantungan terhadap kacang soya dari AS dengan mengalihkan pembelian kepada pengeluar Amerika Selatan seperti Brazil dan Argentina, serta beralih kepada minyak sawit sebagai alternatif.

 

"Terdahulu, langkah China mengenakan tarif 25% ke atas kacang soya AS pada 2018 sebagai tindak balas terhadap tarif AS telah menyebabkan importnya menjunam 57% atau 8.6 juta tan metrik (mt), manakala import dari Brazil melonjak 41% kepada 21.8 juta tan.

 

"Dalam tempoh sama, import minyak sawit China meningkat 5% kepada 5.3 juta metrik tan susulan perang tarif tersebut," katanya.

 

Firma penyelidikan itu berkata, kesan tarif AS terhadap permintaan minyak sawit global dijangka minimum.

 

Sepanjang 2024, AS mengimport sejumlah 1.8 juta tan minyak sawit dengan sebahagian besar dibekalkan oleh Indonesia.

 

"Kami mengekalkan harga minyak sawit mentah pada RM4,000 setiap tan bagi 2025 dan RM3,800 stiap tan pada 2026.

 

"Bekalan minyak sawit kini menunjukkan tanda-tanda pemulihan yang akan mengehadkan potensi kenaikan harga," katanya.- DagangNews.com