KUALA LUMPUR 31 Dis – Chin Hin Group Berhad melalui anak syarikatnya, Kayangan Kemas Sdn. Bhd. (KKSB), telah mengemukakan prosiding timbang tara terhadap Exyte Malaysia Sdn. Bhd. berhubung projek Intel Pelican di Bayan Lepas, Pulau Pinang.
Tuntutan kira-kira RM201 juta itu dikemukakan pada 30 Disember 2025 kepada American Arbitration Association (AAA) selaras dengan Peraturan Timbang Tara Industri Pembinaan.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, Chin Hin berkata KKSB sebelum ini dilantik sebagai subkontraktor oleh Exyte pada 14 Jun 2022 untuk melaksanakan kerja-kerja struktur asas dan sistem utama bangunan (shell and core) bagi projek Intel Pelican melalui perjanjian kontrak bertarikh 15 Jun 2022.
“Sepanjang pelaksanaan kerja, timbul beberapa pertikaian antara kedua-dua pihak yang gagal diselesaikan mengikut terma kontrak.
“Antara isu utama yang dibangkitkan KKSB termasuk kegagalan Exyte menilai permohonan lanjutan masa secara adil, pelanggaran kontrak yang menghalang KKSB menyiapkan kerja, serta kegagalan membayar tuntutan interim dan jumlah retensi mengikut terma kontrak,” kata Chin Hin dalam makluman tersebut.
Exyte adalah syarikat kejuruteraan, perolehan dan pembinaan (EPC) yang berpangkalan di Stuttgart, Jerman dan pakar dalam pembinaan fasiliti berteknologi tinggi bagi industri semikonduktor serta pusat data.
Pada 2022, Exyte di Malaysia telah menganugerahkan kontrak bernilai RM330 juta kepada KKSB bagi kerja-kerja struktur dan teras untuk Projek Intel Pelican.
Projek tersebut melibatkan peluasan kemudahan pengeluaran Intel di Zon Perindustrian Bebas Bayan Lepas, Pulau Pinang.
KKSB menuntut jumlah keseluruhan RM200,997,041.49, merangkumi kerja yang tidak disahkan, tuntutan variasi, kos lanjutan, kos gangguan, caj balas yang ditolak secara salah, faedah dan caj kewangan yang perlu dibayar oleh Exyte.
Selain tuntutan kewangan, KKSB juga menuntut lanjutan masa tambahan sebanyak 795 hari bagi menyiapkan kerja akibat kegagalan Exyte mengesahkan permohonan lanjutan masa.
KKSB berhujah bahawa Exyte tidak berhak mengenakan denda kontrak (liquidated damages) berikutan keadaan tersebut.
KKSB juga mengekalkan hak untuk mengemukakan tuntutan tambahan atau meminda tuntutan sedia ada yang berkaitan dengan pertikaian di bawah kontrak jika timbul perkara baharu sepanjang prosiding timbang tara.
KKSB merupakan anak syarikat utama Chin Hin Group dan tuntutan ini dijangka tidak memberi kesan kewangan atau operasi yang material dalam jangka masa terdekat.
Kesan kewangan akhir bergantung kepada keputusan tribunal timbang tara termasuk sebarang tuntutan balas yang mungkin dikemukakan oleh Exyte.
Chin Hin Group menegaskan bahawa hasil akhir prosiding timbang tara akan menentukan jumlah yang dapat dipulihkan atau dituntut oleh KKSB. - DagangNews.com








