Chin Hin Group lancar semula Akademi CHART, siapkan tenaga kerja hadapi era AI generatif | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Chin Hin Group lancar semula Akademi CHART, siapkan tenaga kerja hadapi era AI generatif

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 10 Sept - Chin Hin Group Berhad melancarkan semula institusi pembelajaran utamanya, Chin Hin Academy for Reskilling & Transformation (CHART) sebagai langkah strategik mengukuhkan kemahiran tenaga kerja bagi menghadapi cabaran dalam era Kecerdasan Buatan generatif.

 

Akademi yang diperbaharui itu meletakkan Chin Hin sebagai organisasi berasaskan kemahiran yang berteraskan daya tahan, dan pertumbuhan jangka panjang.

 

Pengarah Urusan kumpulan, Datuk Wira Chiau Haw Choon berkata, akademi itu adalah komitmen pihaknya dalam melahirkan pemimpin yang bukan sahaja mahir secara teknikal tetapi berpandangan jauh.

 

"Akademi ini menjadi tonggak transformasi kumpulan ke arah organisasi berasaskan kemahiran,” katanya dalam satu kenyataan.

 

Akademi itu dibina atas tiga teras utama iaitu kepimpinan insan, inovasi dan kecemerlangan digital serta kepakaran industri. Program boleh diakses melalui Chin Hin Employee SuperApp dan Sistem Pengurusan Pembelajaran (LMS), memastikan pengalaman pembelajaran lancar di seluruh organisasi.

 

Majlis pelancaran akademi turut diadakan sesi bersama tiga panel iaitu Ketua Pegawai Strategi Human Resource Development Corporation (HRD Corp), Dr. Rony Ambrose Gobilee; Rakan Kongsi & Pengarah Urusan Asia Tenggara Aon, Rahul Chawla dan Ketua Pembelajaran Pekerja Microsoft ASEAN & Korea, Delphine Gunther.

 

Sementara itu, Ketua Pegawai Transformasi Chin Hin, Abel Saw berkata, kemahiran semasa yang dimiliki pekerja tidak mencukupi untuk masa hadapan.

 

"Dengan Akademi CHART, kami bukan sahaja menyediakan pekerja untuk menghadapi perubahan, tetapi juga melangkah ke hadapan dengan keyakinan," katanya.

 

Dengan pelancaran semula Akademi CHART, Chin Hin Group menegaskan peranannya dalam memacu evolusi pembelajaran korporat di Malaysia, serta mengangkat budaya pertumbuhan berterusan, inovasi, dan keterangkuman. - DagangNews.com