KUALA LUMPUR 8 Ogos – XOX Technology Bhd yang sebelum ini dikenali sebagai M3 Technologies (Asia) Bhd, mengumumkan Pengerusi Eksekutifnya, Chew Shin Yong, telah meletakkan jawatan berkuat kuasa 7 Ogos 2025.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, syarikat itu berkata, Shin Yong melepaskan jawatan tersebut kerana memiliki "komitmen kerja lain".
Beliau mula dilantik sebagai Pengarah Eksekutif syarikat itu pada tahun 2008.
Ketika ini, Shin Yong memegang sebanyak 0.93% kepentingan dalam syarikat tersebut, bersamaan dengan 8.34 juta saham.
Beliau juga merupakan pengarah bebas bukan eksekutif bagi beberapa syarikat tersenarai awam lain termasuk Permaju Industries Bhd, Meridian Bhd dan Fintec Global Bhd, menurut laporan tahunan terkini XOX Tech.
Peletakan jawatan Shin Yong itu berlaku susulan pelantikan Mohd Effendi Mat Aris sebagai Ketua Pegawai Eksekutif baharu kumpulan pada minggu ini.
Mohd Effendi sebelum ini berkhidmat sebagai Timbalan Ketua Seksyen Perisikan, Bahagian Operasi Bersepadu di Pusat Pencegahan Jenayah Kewangan Nasional (NFCC) di bawah Jabatan Perdana Menteri.
Syarikat induk, XOX Bhd memiliki 25.95% kepentingan dalam XOX Tech.
XOX turut memegang saham dalam beberapa syarikat lain termasuk Cheetah Holdings Bhd sebanyak 20.85%, Jadi Imaging Holdings Bhd (21.6%) dan Symphony Life Bhd (14.84%).
Pemegang saham terbesar XOX ialah Datuk Kenneth Vun Yun Liun dengan pegangan 8.74% melalui syarikatnya, VCAP Global Inc.
Pemegang saham utama lain termasuk Lazarus Securities Pty Ltd (8.46%) dan Key Alliance Group Bhd dengan pegangan sebanyak 6.34%. - DagangNews.com








