KUALA LUMPUR 25 Ogos – Cheeding Holdings Berhad, penyedia rumusan kejuruteraan utiliti memeterai perjanjian taja jamin bersama TA Securities Holdings Berhad bagi tawaran awam permulaannya (IPO) di Pasaran ACE Bursa Malaysia.
Ketua Pegawai Operasi Cheeding, Ng Lam Shein berkata, di bawah perjanjian tersebut, TA Securities akan menjamin saham IPO yang diperuntukkan kepada orang awam Malaysia serta pihak yang layak melalui peruntukan borang merah jambu.
“IPO ini akan membolehkan kami berkembang dengan lebih mantap, bukan sahaja dari segi saiz projek, tetapi juga dari segi kepelbagaian penyelesaian yang kami tawarkan.
“Kami akan memberi tumpuan untuk mengukuhkan keupayaan reka bentuk dan kejuruteraan, kerja-kerja talian udara, bawah tanah dan pencawang serta memperluaskan operasi syarikat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Cheeding Holdings memberi tumpuan kepada penyediaan perkhidmatan kejuruteraan utiliti, merangkumi kerja-kerja kejuruteraan, perolehan, pembinaan dan pentauliahan (EPCC), serta penyelenggaraan infrastruktur atas tanah dan bawah tanah, selain perkhidmatan kejuruteraan pencawang dan aktiviti berkaitan.
Syarikat itu menjadi penyedia perkhidmatan kepada Tenaga Nasional Bhd (TNB), Kementerian Kewangan serta Suruhanjaya Tenaga Malaysia.

Cadangan IPO itu merangkumi terbitan awam sebanyak 143 juta saham baharu dan tawaran untuk jualan 65 juta saham sedia ada pada harga yang akan ditentukan kemudian.
Cheeding telah memperuntukkan 39.86 juta saham baharu kepada orang awam dan 8.17 juta saham kepada pihak yang layak.
Pengarah Urusan Ng Kian Chai dan isterinya, Tan Sook Hoi akan menjual saham sedia ada mereka.
Selepas penyenaraian, pasangan itu akan terus mengawal pegangan sebanyak 73.92% dalam syarikat.
TA Securities bertindak sebagai penasihat utama, penaja, penjamin dan ejen penempatan bagi IPO berkenaan. - DagangNews.com








