CGSI perkukuh kedudukan di Malaysia melalui 4 IPO utama, penyenaraian sekunder | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

CGSI perkukuh kedudukan di Malaysia melalui 4 IPO utama, penyenaraian sekunder

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 11 Dis – CGS International Securities Malaysia Sdn. Bhd (CGSI) mencatatkan tahun cemerlang dalam pasaran modal Malaysia pada 2025 dengan beberapa tawaran awam permulaan (IPO) utama di Bursa Malaysia yang memperkukuh kedudukannya sebagai peneraju perbankan pelaburan serantau.

 

Daripada 63 urus niaga disempurnakan kumpulan setakat 11 Disember 2025, CGSI memainkan peranan langsung dalam empat IPO penting di Pasaran Utama dan Pasaran ACE yang mencerminkan pengukuhannya sebagai  platform utama pelabur ke Bursa Malaysia.

 

Firma itu bertindak sebagai penjamin bersama dan ejen penempatan untuk IPO Paradigm Real Estate Investment Trust (REIT) di Pasaran Utama yang berjaya mengumpul RM560 juta, serta Aquawalk Group Bhd di Pasaran ACE dengan pengumpulan dana RM228.5 juta.

 

Ketua Kumpulan Perbankan Pelaburan CGS International, Jason Saw berkata, pihaknya juga menjadi penjamin utama untuk IPO Wasco Greenergy Bhd di Pasaran Utama yang berjaya mengumpul RM150 juta.

 

“Selain itu, kami menyokong penyenaraian sekunder UMS Integration Ltd, menjadi yang pertama seumpamanya oleh syarikat yang disenaraikan di Singapura, membolehkan UMS meluaskan asas pemegang saham di Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

 

Tambahnya, pencapaian ini membuktikan peningkatan ketara dalam penglibatan CGSI di pasaran modal Malaysia, membolehkan pelabur tempatan dan antarabangsa mendapatkan akses kepada peluang pelaburan yang lebih luas.

 

Beliau berkata, 2025 merupakan tahun bersejarah bagi francais perbankan pelaburan CGSI di Malaysia. 

 

“Kejayaan IPO dan penyenaraian sekunder ini menunjukkan kemampuan kami untuk melaksanakan urus niaga kompleks dan menyambungkan penerbit dengan modal yang tepat,” katanya.

 

CGSI kini mengekalkan posisi kukuh di Bursa Malaysia dengan kepakaran dalam mengurus IPO berskala besar, penyenaraian sekunder, serta penglibatan pelabur institusi, selari dengan perkembangan pesat pasaran modal domestik. - DagangNews.com