CFO LYC Healthcare, Chong Sook Peng letak jawatan selepas laporan kerugian | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

CFO LYC Healthcare, Chong Sook Peng letak jawatan selepas laporan kerugian

Oleh Shamsiah Zulkafli

KUALA LUMPUR 4 April - Ketua Pegawai Kewangan LYC Healthcare Bhd, Chong Sook Peng, meletakkan jawatan berkuat kuasa 30 Mei 2025.

 

"Saya melepaskan jawatan atas sebab peribadi untuk tugas lain," kata Sook Peng dalam makluman di Bursa Malaysia.

 

Perletakan jawatannya dibuat selepas LYC Healthcare melaporkan kerugian tahunan sejak 2012. 

 

Untuk suku ketiga yang berakhir 31 Disember 2024 (3QFY2025), kumpulan mencatatkan kerugian bersih sebanyak RM8.69 juta berbanding RM10.26 juta pada tahun lalu.

 

Pada 12 Februari 2025, Crowe Malaysia PLT dilantik sebagai juruaudit luar baharu, susulan tindakan syarikat audit, Baker Tilly Monteiro Heng PLT yang melepaskan peranannya pada 3 Februari 2025 kerana tidak bersetuju dengan bayaran audit.

 

Sook Peng, 53, dilantik sebagai CFO pada 1 Mac 2024. 

 

Sebelum menyertai LYC Healthcare, beliau bekerja di Astro Malaysia Holdings Bhd.

 

LYC Healthcare yang tersenarai di Pasaran ACE Bursa Malaysia, menawarkan pelbagai perkhidmatan termasuk rumah berpantang, pusat jagaan kanak-kanak, rumah penjagaan warga emas dan klinik keluarga. 

 

Syarikat juga terlibat dalam sektor kosmetik dan kecantikan. - DagangNews.com