KUALA LUMPUR 10 April - Ketua Pegawai Kewangan (CFO) kumpulan AMMB Holding Bhd (AmBank), Shafiq Abdul Jabbar meletakkan jawatan "untuk mengejar peluang profesional lain", kata kumpulan perbankan itu dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia.
Sumber industri berkata, Shafiq akan menyertai Malayan Banking Bhd (Maybank), kumpulan perbankan terbesar negara berdasarkan aset bagi mengambil alih peranan CFO bank itu.
"Dia sepatutnya mengambil alih (bekas CFO kumpulan) peranan Khalijah Ismail," kata sumber berkenaan kepada The Edge.
Maybank bagaimanapun enggan mengulas mengenai perkara itu ketika dihubungi.
Peletakan jawatan Shafiq daripada AmBank, kumpulan perbankan keenam terbesar negara mengikut aset, akan berkuat kuasa mulai 1 Julai, tetapi beliau akan bercuti mulai 10 April 2025.
Buat masa ini, Ketua Pegawai Eksekutif kumpulan AMMB, Jamie Ling akan menyelia fungsi kewangan kumpulan, sementara pencarian CFO kumpulan baharu sedang dijalankan. Beliau dahulunya adalah CFO kumpulan AMMB.
Shafiq berkhidmat dengan AmBank untuk tempoh yang agak singkat, setelah menyertai sebagai CFO kumpulannya pada 15 Februari tahun lepas.
Beliau dahulunya adalah CFO kumpulan penyedia TV berbayar, Astro Malaysia Holdings Bhd. Beliau juga pernah berkhidmat sebagai pengawal kewangan kumpulan dan CFO CIMB Bank Bhd.
Dua bulan lalu, Maybank mengumumkan pemergian yang tidak dijangka CFO kumpulan, Khalijah dan menerusi makluman kepada bursa pada 17 Februari 2025, kumpulan itu berkata, keputusan itu dibuat berikutan "siasatan dalaman oleh bank" tetapi tidak dijelaskan secara terperinci.
Maybank kemudiannya memberitahu, penamatan kontrak Khalijah adalah akibat ketidakpatuhan terhadap keperluan dan proses dalaman bank, tanpa memberikan butiran.
Bagaimanapun, ia menjelaskan, tiada kerugian kewangan yang dialami daripada keputusan itu.
Khalijah, yang menafikan sebarang salah laku, berkata, dia akan mengambil tindakan undang-undang terhadap keputusan bank itu.- DagangNews.com








