Century Software peroleh kontrak RM2.78 juta daripada Lembaga Getah Malaysia | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Century Software peroleh kontrak RM2.78 juta daripada Lembaga Getah Malaysia

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 2 Okt – Century Software (Malaysia) Sdn Bhd, anak syarikat Censof Holdings Berhad dianugerahkan kontrak kerajaan bernilai RM2.78 juta oleh Lembaga Getah Malaysia (LGM) bagi langganan sistem perisian pengurusan kewangan dan perakaunan berasaskan awan.

 

Kontrak ini merangkumi tempoh lima tahun enam bulan, bermula 1 Oktober 2025 hingga 31 Mac 2031.

 

Century Software akan memanfaatkan semua kepakaran dalam menyediakan rumusan digital yang memperkukuh pengurusan kewangan sektor awam sepanjang tempoh kontrak berlangsung.

 

Sistem ini akan menawarkan fungsi perakaunan lanjutan, pematuhan, pelaporan dan automasi, membolehkan LGM meningkatkan kecekapan operasi serta pematuhan terhadap peraturan.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Century Software, Mohd Faiz Alias berkata, syarikat teruja dengan kepercayaan yang diberi Lembaga Getah Malaysia terhadap kemampuannya melalui kontrak tersebut.

 

“Kontrak ini menunjukkan permintaan berterusan terhadap rumusan kami dalam sektor kerajaan dan mencerminkan kemampuan kami menyediakan platform kritikal yang meningkatkan akauntabiliti, ketelusan dan ketahanan digital. 

 

“Ia selaras dengan strategi Censof untuk memacu rumusan berasaskan AI dan awan di institusi awam Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan.

 

Kontrak ini juga menyerlahkan peranan penting Censof dalam menyokong agenda transformasi digital Malaysia serta memperkukuh kehadiran kumpulan itu dalam sektor teknologi kewangan awam.

 

Censof, yang ditubuhkan pada 2008, menawarkan portfolio luas perisian pengurusan kewangan dan penyelesaian digital untuk sektor awam dan swasta di Asia Pasifik, termasuk kewangan perusahaan, perkhidmatan e-payment, pengurusan kekayaan, cukai dan gaji, analitik serta latihan. - DagangNews.com