Cendana Auto pamer model naik taraf kenderaan tempur infantri MIFV K200 | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Cendana Auto pamer model naik taraf kenderaan tempur infantri MIFV K200

Model MIFV K200 yang dinaik taraf Cendana Auto semasa melakukan ujian.
Oleh Zaki Salleh

KUALA LUMPUR 26 Ogos - Syarikat automotif tempatan, Cendana Auto Sdn. Bhd. (Cendana Auto) telah mempamerkan model naik taraf kenderaan tempur infantri MIFV K200 yang dicadangkan kepada Tentera Darat Malaysia.

 

Varian termoden MIFV K200 ini dipertontonkan semasa demonstrasi Latihan Kuasa Tembakan 2025 di Kem Gemas, Negeri Sembilan baru-baru ini.

 

Program naik taraf tersebut dilakukan menerusi kerjasama rakan strategik industri dari Korea Selatan, Hanwha Aerospace.

 

 

 

 

 

 

 

Melihat pada bentuk luaran kenderaan MIFV K200 ini, ia kelihatan lebih gagah dengan beberapa perubahan serta peningkatan yang ketara menampakkan ciri-ciri perisai moden.

 

Kenderaan
Kenderaan MIFV K200 semasa di Lapang Sasar Gemas. Perhatikan tiang PILAR V pada sisi belakang kenderaan.

 

Kenderaan
Kenderaan MIFV sedia ada yang digunakan Tentera Darat Malaysia.

 

Peningkatan itu dikatakan menyamai dengan varian kenderaan serupa, KIFV yang diguna tentera Korea Selatan. 

 

Paling ketara ialah pemasangan antena PILAR V iaitu sistem sensor tembakan akustik yang bertindak sebagai pelindung pasif kepada kenderaan perisai.

 

Ia merupakan sistem sensor yang boleh mengesan tembakan dan arah tembakan dilepaskan untuk melaksanakan serangan balas selain menjadi pelindung.

 

Sistem jenis ini direka untuk perlindungan kenderaan berperisai berat dan ringan, serta kenderaan berperisai pasukan keselamatan. 

 

Pengubahsuaian penuh lain seperti enjin, sistem transmisi, penyejukan dan tempat duduk kabin, sistem elektronik, pintu tanjakan bantuan hidraulik dan sistem persenjataan.

 

Kenderaan

 

Kenderaan

 

Kenderaan

 

Kenderaan ini menggunakan enjin MAN-Doosan D2848T V-8 yang menghasilkan 350hp dan transmisi automatik Allison X200-5K.

 

Sistem elektronik yang dipertingkatkan dengan instrumen bersepadu dan panel paparan untuk pengendalian yang lebih baik manakala pintu tanjakan belakang bantuan hidraulik baharu untuk operasi yang cekap. 

 

Berbeza kenderaan sedia ada, MIFV K200 naik taraf ini dilengkapi sistem senjata kawalan automotik Hanwha RCWS digandingkan dengan mesingan kaliber 12.7mm. 

 

Difahamkan, kenderaan MIFV K200 telah menjalani uji nilai di lapangan termasuk ujian litar berhalangan bagi menguji kelasakan sepertimana dalam pemanduan sebenar.

 

Dengan usia kenderaan MIFV yang semakin meningkat, opsyen untuk menaik taraf adalah lebih relevan daripada segi kos berbanding pembelian baharu yang memerlukan belanja besar.

 

Kenderaan
Panglima ATM, Jeneral Tan Sri Mohd Nizam Jaafar bersama kakitangan Cendana Auto dan Hanwa Aerospace selepas melihat kenderaan MIFV K200.

 

Kenderaan

 

Cendana Auto dan Hanwha Aerospace pada Ogos tahun lalu telah menandatangani perjanjian untuk program naik taraf kenderaan tempur infantri MIFV K200 Tentera Darat.

 

Program usahasama ini melibatkan perkongsian teknologi bagi membangunkan prototaip MIFV K200 yang dinaik taraf untuk tujuan ujian dan penilaian.

 

 

 

 

 

 

 

 

Prototaip yang akan dibangunkan ini adalah mengikut spesifikasi yang diperlukan oleh Tentera Darat Malaysia.

 

Tentera Darat Malaysia mempunyai keperluan untuk menaik taraf kesemua kenderaan MIFV K200 yang dibeli secara berperingkat-peringkat pada tahun 1993 dan 1995. - DagangNews.com