KUALA LUMPUR 23 Mei – Pendapatan teras CelcomDigi dijangka meningkat 11% pada tahun kewangan 2026 (FY26) dan 25% pada FY27, berbanding 4% pada FY25, susulan pengurangan kos penyepaduan dan pelaksanaan komersial lebih cekap.
RHB Research berkata, unjuran tersebut disokong oleh sinergi hasil penggabungan yang semakin kukuh.
"Dengan peningkatan pelaksanaan komersial dan penjimatan hasil penyepaduan, kami menjangkakan pendapatan teras akan berkembang pada kadar pertumbuhan tahunan terkumpul (CAGR) 18% bagi tempoh FY25 hingga FY27.
"CelcomDigi mengekalkan sasaran penjimatan kasar sebelum cukai antara RM700 juta dan RM800 juta selepas FY27," katanya dalam satu nota kajian.
Bagi FY26, syarikat dijangka mencatat pertumbuhan hasil perkhidmatan pada kadar satu digit rendah, pendapatan sebelum faedah dan cukai (EBIT) pula tumbuh pada kadar satu digit rendah hingga sederhana, manakala nisbah perbelanjaan modal kepada jualan berada di antara 14% dan 16%.
Kos penyepaduan dijangka berakhir FY25 selari dengan rumusan penyepaduan rangkaian yang kini mencapai 80% pada suku pertama 2025 berbanding 75% pada suku keempat 2024.
Bagaimanapun, baki 20% lokasi rangkaian masih berdepan cabaran akibat rundingan dengan Digital Nasional Bhd dan pemilik, sekali gus menyebabkan penyusunan semula jadual ke separuh pertama 2025.
Sejak penggabungan dimuktamadkan, CelcomDigi membelanjakan RM300 juta daripada RM527 juta jumlah keseluruhan kos penyepaduan termasuk perbelanjaan modal (capex).
Kos penyepaduan pada suku pertama mencecah RM63 juta, merangkumi RM41 juta perbelanjaan operasi dan RM22 juta perbelanjaan modal.
Perbelanjaan modal suku pertama direkodkan rendah pada RM148 juta atau 5% daripada hasil, tetapi dijangka meningkat dalam beberapa suku akan datang berikutan penaiktarafan platform teknologi maklumat (IT).
RHB Research mengekalkan saranan "beli" ke atas saham CelcomDigi dengan harga sasaran (TP) RM4.40 sesaham.- DagangNews.com








