KUALA LUMPUR 5 Jan – Persatuan Kesedaran Jenayah dan Keselamatan Awam Pulau Pinang (CCPSS) memperkenalkan barisan Ikon Kebanggaan yang terdiri daripada bekas pegawai kanan kerajaan berpengalaman luas dalam bidang keselamatan, pencegahan rasuah, pendidikan, perpaduan nasional dan pengurusan kecemasan sebagai langkah memperkukuh advokasi keselamatan awam di negeri itu.
Dalam satu kenyataan, CCPSS berkata pelantikan Ikon Kebanggaan berkenaan bertujuan menjadi rakan strategik bagi menyokong misi persatuan dalam membina komuniti yang lebih selamat, berpengetahuan dan berdaya tahan.
Menurut CCPSS, kepelbagaian kepakaran yang dimiliki oleh kumpulan tersebut merangkumi risikan, pencegahan jenayah, integriti, pentadbiran awam serta kesiapsiagaan bencana, sekali gus mampu memperkukuh usaha kesedaran dan keselamatan awam di Pulau Pinang.
Antara tokoh yang diperkenalkan ialah bekas Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN), DCP Datuk Zainudin Ahmad.
Beliau berkhidmat lebih 30 tahun dalam pasukan poli, termasuk memegang peranan penting dalam Cawangan Khas serta terlibat dalam operasi nasional utama seperti Ops Lalang, Ops Piru dan Ops Daulat.
Beliau juga pernah mewakili Malaysia dalam mesyuarat keselamatan antarabangsa sebelum mengetuai operasi risikan narkotik berskala besar yang berjaya melumpuhkan sindiket dadah tempatan dan antarabangsa, sekali gus meraih penghormatan luas dalam kalangan agensi penguatkuasaan.

Ruslan Tuan Mat
Turut dinamakan sebagai Ikon Kebanggaan ialah bekas Pengarah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Pulau Pinang, Ruslan Tuan Mat.
Beliau memulakan kerjaya sebagai pegawai risikan pada 1996 dan berkhidmat dalam pelbagai bahagian SPRM termasuk pendidikan komuniti, siasatan dan operasi risikan.
Ruslan pernah mengetuai cawangan SPRM di Bintulu dan Perlis, sebelum memimpin Pusat Operasi Risikan Wilayah Selatan dan seterusnya dilantik sebagai Pengarah SPRM Pulau Pinang dari 2022 hingga 2024.

Datuk Abdul Said Hussain
Dalam sektor pendidikan, CCPSS mengiktiraf bekas Pengarah Jabatan Pendidikan Pulau Pinang, Datuk Abdul Said Hussain atas sumbangan beliau selama 35 tahun.
Sepanjang kerjayanya, beliau memegang pelbagai jawatan kepimpinan di peringkat sekolah, pejabat daerah dan jabatan pendidikan negeri.
Beliau turut menerima beberapa anugerah termasuk Darjah Setia Pangkuan Negeri yang membawa gelaran Dato’, serta dinobatkan sebagai Tokoh Pendidik Maal Hijrah oleh Persatuan Melayu Pulau Pinang (PEMENANG).

Dr Kang Tong Hum
Bekas Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar dan Perancangan) Kementerian Perpaduan Negara, Dr Kang Tong Hum, turut diangkat sebagai Pride Icon atas lebih 30 tahun perkhidmatan dalam sektor awam.
Beliau pernah berkhidmat di Kementerian Kewangan, Agensi Kelayakan Malaysia, RAC, MAMPU dan Kementerian Pertahanan.
Selain itu, beliau juga pernah mewakili Kementerian Kewangan dalam beberapa lembaga pengarah termasuk HRD Corp, Lembaga Pelabuhan Klang dan Lembaga Pelabuhan Melaka.

Datuk Saadon Moktar
Barisan Ikon Kebanggaan CCPSS turut merangkumi bekas Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Pulau Pinang, Datuk Saadon Moktar, yang berkhidmat lebih 37 tahun dalam jabatan tersebut termasuk memegang jawatan kepimpinan di peringkat negeri, persekutuan dan akademi. - DagangNews.com








