Carzo dinyahsenarai daripada Bursa Malaysia pada 15 Oktober 2025 selepas gagal dapatkan perniagaan teras baharu | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Carzo dinyahsenarai daripada Bursa Malaysia pada 15 Oktober 2025 selepas gagal dapatkan perniagaan teras baharu

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 8 Okt - Carzo Holdings Berhad akan dinyahsenarai daripada Bursa Malaysia pada 15 Oktober 2025 selepas gagal mendapatkan perniagaan teras baharu selepas keluar daripada operasi pengedaran buah-buahan segar dan produk buah-buahan 11 bulan yang lalu.

 

Kumpulan berkata, lembaga pengarah syarikat membuat keputusan untuk tidak mengemukakan rayuan kepada Bursa Malaysia Securities Berhad berhubung penyahsenaraian saham syarikat.

 

"Keputusan itu dibuat selepas pertimbangan sewajarnya, dan syarikat tidak akan mengemukakan sebarang rayuan dalam tempoh yang ditetapkan, iaitu pada atau sebelum 9 Oktober 2025.

 

"Berikutan keputusan tersebut, dagangan sekuriti Carzo akan digantung bermula 10 Oktober 2025, manakala penyahsenaraian rasmi sekuriti syarikat akan berkuat kuasa pada 15 Oktober 2025, selaras dengan surat Bursa Securities bertarikh 2 Oktober 2025," katanya dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia.

 

Sebelum ini, kumpulan itu menerima notis daripada Bursa Securities yang meminta penjelasan bertulis mengapa syarikat tidak seharusnya dikenakan penggantungan dagangan atau disingkirkan daripada senarai.

 

ARTIKEL BERKAITAN: Carzo Holdings berdepan risiko dinyahsenarai Bursa Malaysia selepas gagal peroleh perniagaan teras baharu

 

Notis tersebut dikeluarkan kerana Carzo gagal mematuhi Peraturan 6.06(2) di bawah Keperluan Penyenaraian Pasaran LEAP, yang mewajibkan syarikat memperoleh perniagaan teras baharu dalam tempoh sembilan bulan selepas pengumuman pemberhentian perniagaan teras terdahulu.

 

Carzo mencatatkan kerugian bersih berterusan selama dua tahun kewangan berturut-turut dengan kerugian RM6.55 juta bagi tahun kewangan berakhir 30 Jun 2024 dan RM18.89 juta bagi tempoh 18 bulan tahun kewangan 2023.

 

Usaha syarikat untuk memulihkan perniagaan pengedaran buah-buahan segar yang menjadi teras sebelum ini gagal dan menyebabkan pengumuman pemberhentian operasi tersebut pada November tahun lalu.

 

Kali terakhir saham Carzo diniagakan ialah pada 17 Mac lalu pada harga 39.5 sen, dengan nilai pasaran sekitar RM37.7 juta. - DagangNews.com