Carro dan SY Holdings dari Hong Kong manfaatkan AI kembangkan pasaran automotif digital | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Carro dan SY Holdings dari Hong Kong manfaatkan AI kembangkan pasaran automotif digital

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 21 Ogos – Carro, platform kereta terpakai dalam talian terbesar dan paling pesat berkembang di Asia Pasifik telah menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan SY Holding dari Hong Kong untuk menyokong rancangan pengembangan Carro melalui rumusan pembiayaan berasaskan teknologi.

 

Kerjasama strategik itu akan memanfaatkan kecerdasan buatan (AI), analitik ramalan dan integrasi pintar untuk meningkatkan kecekapan operasi, mempercepatkan kitaran pembiayaan dan membolehkan skala perniagaan diperluaskan secara optimum.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Carro, Aaron Tan berkata, ia membolehkan syarikat mengakses rumusan pembiayaan yang bersesuaian untuk menyelaraskan pembayaran merentasi ekosistem dalam pelbagai pasaran dan mengoptimumkan proses rantaian pembiayaan.

 

“Kami teruja bekerjasama dengan rakan baharu seperti SY Holdings untuk terus berkembang ke pasaran lebih luas dan meneroka peluang baharu,” katanya.

 

Pada masa sama, SY Holdings akan memanfaatkan pengalaman Carro dalam industri kenderaan tenaga baharu (NEV) di seluruh Asia Pasifik.

 

Ketua Perkongsian Antarabangsa SY Holdings, Kenny Ng, berkata, komitmen Carro dalam AI dan NEV serta pelancaran bilik pameran Zeekr baru-baru ini sejajar dengan visi mereka.

 

“Kerjasama ini akan membolehkan integrasi sistem untuk menguruskan bilik pameran, perolehan dan penyelesaian kes dalam ruang NEV.

 

“Kami juga akan meneroka keupayaan AI rantaian bekalan termasuk mengesan sebarang kelainan, algoritma harga pintar, menyegerakan data masa nyata dan penyelarasan automatik,” katanya.

 

Carro telah membina ekosistem dalaman yang merangkumi Carro Care (perkhidmatan selepas jualan dan pembaikan), Genie Financial Services (penyedia pembiayaan automotif fintech) dan Coverro (insurans automotif). - DagangNews.com