KUALA LUMPUR 8 Okt – CapitaLand Investment Limited hari ini melancarkan CapitaPlus, platform hab digital pelbagai ganjaran yang direka khas untuk pengalaman istimewa dengan rangkaian pusat beli-belahnya di Malaysia.
Dilancarkan pada 3 Oktober lalu, CapitaPlus adalah bukti komitmen CapitaLand terhadap inovasi digital, amalan mampan serta strategi runcit berkesan yang disesuaikan dengan perubahan tingkah laku pengguna dalam era pasca pandemik.
Lebih daripada sekadar program ganjaran, CapitaPlus menghubungkan pengalaman fizikal dan digital dalam satu platform mesra mudah alih.
Pelanggan boleh membuat pembelian, mengumpul mata ganjaran dan menebus baucar secara serta-merta dalam satu ekosistem yang lancar, mudah difahami dan digunakan.
Pelancaran itu bertepatan dengan ulang tahun ke-25 CapitaLand Group yang ditubuhkan pada tahun 2000.
Sepanjang tempoh itu, kumpulan ini kekal konsisten di barisan hadapan inovasi dan transformasi digital dalam sektor runcit serantau.

Pengarah Urusan CapitaLand Malaysia, Selina Ng berkata, CapitaPlus mencerminkan kecekapan syarikat dalam melaksanakan pendekatan “digital-first” bagi mempertingkat pengalaman pelanggan dan menyokong pertumbuhan rakan niaga peruncit.
“Menawarkan pengalaman runcit tanpa halangan adalah penting untuk menghubungkan pelanggan dengan peruncit kami.
“CapitaPlus menawarkan pengalaman beli-belah lancar yang boleh diakses pada bila-bila masa dan di mana sahaja,” katanya dalam satu kenyataan.
Melalui platform ini, pelanggan boleh mendaftar secara percuma, memuat naik resit pembelian dan membuka ganjaran segera seperti e-baucar dan promosi eksklusif.
Dalam tempoh 6 hingga 8 bulan akan datang, CapitaLand merancang memperluaskan ciri CapitaPlus dengan keistimewaan tambahan seperti cabutan bertuah automatik, ganjaran ahli Kids’ Club dan rebat tempat meletak kereta.
Bagi peruncit, CapitaPlus berfungsi sebagai instrumen pemasaran digital yang berkuasa.
Ia membolehkan kempen tersasar dijalankan dengan lebih efektif serta menyediakan data pengguna masa nyata bagi merangsang jualan dalam kedai dan memperkukuh hubungan dengan pelanggan.
Lebih penting, platform ini menyokong matlamat kelestarian CapitaLand dengan beralih daripada sistem penebusan fizikal kepada digital, sekali gus mengurangkan pembaziran kertas dan memperkemas operasi runcit.

Bagi meraikan pelancarannya, CapitaLand turut mengadakan kempen “Top Spender Takes Off with ASEAN Explorer Pass” dari 3 Oktober hingga 2 November 2025.
Tujuh pembeli tertinggi di setiap pusat beli-belah yang mengambil bahagian akan berpeluang memenangi AirAsia ASEAN Explorer Pass yang menawarkan penerbangan tanpa had ke seluruh ASEAN selama setahun.
CapitaLand yang berpangkalan di Singapura merupakan pengurus aset global dengan dana bernilai S$117 bilion di bawah pengurusannya sehingga Ogos 2025.
Ia memiliki portfolio pelaburan merangkumi runcit, pejabat, industri, logistik, kesihatan, pusat data dan penginapan di Asia dan pasaran global.
CapitaLand sangat komited terhadap agenda alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) dengan sasaran pelepasan karbon sifar bersih bagi Skop 1 dan 2 menjelang 2050.
Pelancaran CapitaPlus menjadi bukti hala tuju syarikat untuk membentuk masa depan runcit yang mampan dan berimpak tinggi.
Maklumat lanjut mengenai CapitaPlus boleh diperoleh melalui laman sesawang rasmi [member.capitaplus.com.my](https://member.capitaplus.com.my). - DagangNews.com








