KUALA LUMPUR 7 Mei – Capital A Berhad merancang untuk meluaskan operasinya ke Arab Saudi, melibatkan sektor penerbangan, logistik, kejuruteraan pesawat, dan platform perjalanan digital sebagai sebahagian daripada strategi pengembangan di Asia Barat.
Inisiatif itu dimulakan dengan pengenalan laluan baharu AirAsia dari Kuala Lumpur ke Riyadh dan Dammam serta peningkatan penerbangan ke Jeddah.
Capital A juga sedang merancang sambungan baharu dari Bangkok dan Jakarta ke Riyadh, bagi memperkukuh hubungan udara antara Asia Barat dengan seluruh rantau ASEAN.
Pengembangan tersebut turut melibatkan pembawaan keseluruhan ekosistem perniagaan Capital A ke Arab Saudi, termasuk cabang logistiknya, Teleport; penyedia penyelenggaraan dan kejuruteraan pesawat, Asia Digital Engineering (ADE), serta platform perjalanan digital, AirAsia MOVE.
Ketua Pegawai Eksekutif Capital A, Tony Fernandes berkata, potensi dan transformasi pesat di Arab Saudi membuka peluang kerjasama yang luas dalam pelbagai sektor.
"Pembangunan projek Laut Merah adalah antara paling diimpikan di dunia dan kami melihat peluang besar untuk menyumbang melalui sambungan penerbangan, logistik dan kejuruteraan.
"Laluan baharu ke Riyadh dijangka menarik hampir sejuta penumpang dua hala menjelang 2026 dan melebihi tujuh juta menjelang 2030, sekali gus menunjukkan permintaan yang kukuh terhadap hubungan antara ASEAN dan Teluk," katanya dalam satu kenyataan.
Teleport berhasrat untuk bekerjasama dengan hab logistik dan zon perdagangan bebas di Arab Saudi bagi membina koridor kargo antara ASEAN dan Asia Barat.
Inisiatif itu dijangka menyokong Wawasan 2030 Arab Saudi untuk menjadi hab logistik serantau.
ADE sedang meneroka peluang kerjasama dengan pihak industri penerbangan Arab Saudi termasuk pembinaan kemudahan penyelenggaraan pesawat di lapangan terbang utama, latihan teknikal serta pemindahan kepakaran dalam sektor MRO (penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih).
Capital A melihat Arab Saudi sebagai pasaran utama seterusnya selepas kejayaan pengembangan di India dan China.
Syarikat itu yakin model perniagaan pelbagai segmennya mampu menyokong pembangunan sektor pelancongan, logistik, dan kejuruteraan di negara tersebut, selaras dengan aspirasi transformasi Arab Saudi.- DagangNews.com








