KUALA LUMPUR 11 Dis – Capital A Bhd memperoleh kelulusan Mahkamah Tinggi bagi cadangan pengurangan modal berjumlah RM2.74 bilion, satu langkah penting yang membuka laluan kepada pengagihan saham AirAsia X Bhd (AAX) kepada pemegang saham yang layak.
Dalam kenyataan, Capital A berkata kelulusan itu menandakan antara fasa terakhir proses penstrukturan kumpulan, susulan perjanjian penyatuan operasi penerbangan dengan AAX yang menjadi tanpa syarat pada Oktober lalu, serta pengumuman berkaitan butiran dividen dalam bentuk saham.
Dengan kebenaran itu, Capital A kini akan meneruskan pengagihan saham AAX dan seterusnya memohon satu lagi perintah Mahkamah Tinggi bagi pengurangan modal tambahan RM5.51 bilion di bawah pelan pemulihan kumpulannya, sebelum memohon untuk keluar daripada status Nota Amalan 17 (PN17).
Capital A berkata pihaknya kekal berada pada landasan untuk menyiapkan pelupusan perniagaan penerbangan dan pengedaran menjelang Disember 2025, sambil menjelaskan bahawa semua langkah yang masih berbaki dalam pelan regularisasi sedang berjalan lancar.
Setelah pelan regularisasi selesai, semua syarikat penerbangan AirAsia akan disatukan di bawah satu platform penerbangan tunggal.
Capital A pula akan berkembang sebagai kumpulan ‘asset-light’ yang memberi tumpuan kepada lima perniagaan berimpak tinggi: Asia Digital Engineering (MRO), Teleport (logistik), AirAsia MOVE (platform pelancongan), Santan (F&B) dan AirAsia Next (jenama dan kesetiaan pelanggan).
Capital A jatuh ke status PN17 pada Januari 2022, ketika itu dikenali sebagai AirAsia Group Bhd selepas juruaudit luarnya, Ernst & Young PLT, menyatakan kebimbangan material mengenai kemampuan syarikat untuk terus beroperasi dalam penyata kewangan beraudit tahun kewangan berakhir 31 Disember 2019.
Ketika itu, ekuiti pemegang saham merosot di bawah 50% modal saham.
Sejak itu, kumpulan telah melaksanakan pelan pemulihan yang merangkumi penyusunan semula dan pelepasan perniagaan syarikat penerbangan kepada AAX. - DagangNews.com








