KUALA LUMPUR 18 Dis – Cape EMS Berhad, penyedia penyelesaian kejuruteraan dan pembuatan, memeterai kerjasama strategik dengan Engytech Engineering Services Pty Ltd, pakar kejuruteraan dan penyampaian projek berpangkalan di Australia, bagi menubuhkan platform Perkhidmatan dan Sokongan Infrastruktur Digital di Malaysia.
Cape EMS dalam kenyataan hari ini berkata, kerjasama itu bertujuan memperkukuh keupayaan Malaysia dalam menyokong pertumbuhan pesat ekosistem pusat data dan infrastruktur digital, khususnya di Johor yang kini muncul sebagai koridor pertumbuhan infrastruktur digital utama negara.
Menurut Cape EMS, gabungan kepakaran kejuruteraan, integrasi sistem dan operasi Engytech dengan keupayaan pembuatan, kemudahan serta kekuatan pelaksanaan tempatan Cape EMS akan membolehkan penyediaan sokongan menyeluruh hujung ke hujung bagi pusat data dan kemudahan kritikal misi.
Pasaran pusat data Malaysia terus berkembang, dipacu oleh peningkatan penggunaan pengkomputeran awan, beban kerja kecerdasan buatan (AI) serta permintaan digital serantau.
Johor pula menarik minat pelabur susulan kedudukannya yang strategik berhampiran Singapura, selain infrastruktur bekalan tenaga dan kesalinghubungan yang semakin kukuh serta sokongan dasar yang positif.
Dengan kehadiran operasi yang mantap di Senai, Johor, Cape EMS berada pada kedudukan strategik untuk menawarkan penyelesaian sedia guna yang memenuhi keperluan tenaga dan infrastruktur projek digital berskala besar.
Mengulas lanjut, Pengarah Urusan Cape EMS Berhad Christina Tee Kim Chin berkata kerjasama tersebut bukan sahaja mengukuhkan keupayaan infrastruktur digital negara, malah menyokong keutamaan ekonomi digital Malaysia.
“Dengan menggabungkan kepakaran kejuruteraan Engytech dan asas pembuatan serta kekuatan pelaksanaan tempatan Cape EMS, kami membangunkan platform penyelesaian sedia guna yang direka untuk menyokong keperluan tenaga dan infrastruktur pusat data serta pembangunan digital berskala besar,” katanya.
Menurutnya, kerjasama itu turut selari dengan agenda transformasi CEB 2.0 Cape EMS yang memfokuskan kepada perkhidmatan kejuruteraan bernilai tinggi, penyelesaian tenaga bersih serta teknologi berkait infrastruktur.
Sebagai sebahagian daripada kerjasama tersebut, kedua-dua pihak merancang untuk menubuhkan Akademi Pusat Data di Malaysia bagi menangani kekurangan tenaga kerja mahir dalam sektor infrastruktur digital.
Katanya, akademi itu akan memberi tumpuan kepada latihan praktikal berasaskan keperluan industri sebenar, meliputi operasi pusat data dan pengurusan fasiliti, infrastruktur rangkaian dan kesalinghubungan, sistem kuasa dan penyejukan dengan penekanan kepada kecekapan tenaga, selain pengurusan fasiliti pintar, daya tahan operasi serta keperluan pematuhan.
Akademi berkenaan dijangka melahirkan tenaga kerja berkemahiran tinggi dengan kemahiran praktikal yang boleh diaplikasikan secara langsung dalam persekitaran kritikal misi.
Cape EMS dan Engytech turut mengulangi komitmen jangka panjang mereka terhadap Malaysia, sejajar dengan peralihan negara daripada destinasi limpahan serantau kepada hab infrastruktur digital strategik.
Kerjasama ini menyokong objektif nasional di bawah MyDIGITAL, Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030) serta agenda kemampanan dan pembangunan kemahiran negara. - DagangNews.com








