CapBay perkenal CrediBill, kukuhkan akses pembiayaan PKS sektor kesihatan | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

CapBay perkenal CrediBill, kukuhkan akses pembiayaan PKS sektor kesihatan

Oleh Shamsiah Zulkafli

KUALA LUMPUR 24 April - Penyedia utama rumusan kewangan digital di Malaysia, CapBay, memperkenalkan CrediBill, platform B2B Buy Now Pay Later (BNPL), bagi membantu perniagaan penjagaan kesihatan mengatasi cabaran aliran tunai dan mempercepatkan peralihan digital.

 

Melalui kerjasama itu, CapBay membolehkan pembekal menerima bayaran segera, manakala pembeli menikmati syarat pembayaran fleksibel sehingga 120 hari. 

 

Pengasas bersama dan Ketua Pegawai Eksekutif CapBay, Ang Xing Xian berkata, pihaknya mahu menjadikan pembiayaan digital mudah diakses oleh setiap perusahaan kecil & sederhana (PKS) penjagaan kesihatan, dari klinik hingga pengedar peralatan perubatan supaya mereka dapat menggunakan alat yang diperlukan untuk berkembang.

 

"Menerusi kerjasama ini, kami menghimpunkan pemain utama industri untuk bersama-sama membina ekosistem penjagaan kesihatan yang lebih cekap, kukuh dari segi kewangan dan bersedia menghadapi peralihan digital," katanya dalam satu kenyataan.

 

Pada masa sama, CapBay turut menjalin kerjasama dengan empat syarikat penjagaan kesihatan iaitu Farmasi Al Arif, HealthMetrics, HorecaBid dan Nephrocare dalam usaha membina ekosistem penjagaan kesihatan yang lebih mampan dan berdaya saing.

 

Majlis pertukaran Memorandum Persefahaman (MoU) berlangsung sempena Pameran Penjagaan Kesihatan dan Farmaseutikal Asia Tenggara ke-25 (SEACare 2025) di MITEC, Kuala Lumpur, hari ini.

 

Turut hadir menyaksikan majlis tersebut ialah Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Antah Healthcare, Tunku Dato’ Mohamed Alauddin Tunku Naquiyuddin dan Pengarah Perkhidmatan Digital, Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC), Mohd Redzuan Affandi Bin Abdul Rahim.

 

Di bawah kerjasama itu, pihak-pihak yang terlibat akan bertukar pandangan mengenai trend penjagaan kesihatan, meneroka inisiatif bersama dan menjalankan program perintis untuk memajukan inovasi penjagaan kesihatan yang didorong oleh pembiayaan. 

 

Kerjasama berkenaan direka untuk mengurangkan halangan dalam proses perolehan dan pembayaran sambil membolehkan PKS penjagaan kesihatan mengguna pakai kemudahan digital tanpa terhalang oleh kekangan pembiayaan.

 

Dengan sokongan kerjasama strategik dan saluran pembiayaan yang kukuh, CapBay menyasarkan untuk meningkatkan lebih 1,000 perniagaan penjagaan kesihatan dalam tempoh 12 bulan akan datang, dengan sasaran pengagihan melebihi RM100 juta.

 

Setakat ini, CapBay telah mengagihkan lebih RM4 bilion dalam pembiayaan kepada 2,000 PKS yang kurang mendapat perhatian merentasi 20 industri. 

 

Dengan inisiatif terbaharu itu, CapBay menjadi antara pemberi pembiayaan alternatif pertama yang secara aktif menyasarkan industri penjagaan kesihatan melalui tawaran khusus sektor.

 

Pertukaran MoU tersebut mencerminkan misi yang lebih luas untuk memacu inklusi kewangan dan inovasi dalam sektor-sektor di mana akses kepada modal tetap menjadi halangan utama untuk pertumbuhan. 

 

Dengan mengukuhkan hubungan dengan pemain ekosistem penjagaan kesihatan, CapBay membuka jalan untuk ekonomi penjagaan kesihatan yang lebih mampan dan bersedia untuk masa depan yang berkembang melalui akses kewangan, alat digital, dan pengetahuan bersama. - DagangNews.com