KUALA LUMPUR 4 Sept – Cameron Highlands mengharumkan nama Malaysia apabila muncul sebagai destinasi luar bandar terbaik di Asia, menurut laporan platform pelancongan digital Agoda.
Kejayaan itu sekali gus meletakkan Malaysia mendahului rantau ini dalam segmen pelancongan luar bandar yang semakin mendapat sambutan pelancong antarabangsa.
Cameron Highlands yang terletak di Pahang mengetepikan dua pesaing terdekat, Khao Yai di Thailand dan Puncak di Indonesia, untuk berada di kedudukan tiga teratas senarai.
Laporan itu berdasarkan data carian penginapan di Agoda antara 15 Februari hingga 15 Ogos 2025, melibatkan destinasi dengan populasi di bawah 50,000 orang di lapan pasaran Asia.
Selain tiga destinasi utama itu, lima lagi lokasi yang tersenarai dalam kelompok lapan terbaik ialah Fujikawaguchiko (Jepun), Kenting (Taiwan), Sapa (Vietnam), Munnar (India) dan Pyeongchang-gun (Korea Selatan).
Menurut Agoda, destinasi di kawasan tanah tinggi dan luar bandar semakin menjadi pilihan pelancong kerana menawarkan keindahan alam semula jadi, suasana damai serta pengalaman budaya tempatan.
Pengarah Negara Agoda bagi Malaysia dan Brunei, Fabian Teja berkata, pengiktirafan itu membuktikan Cameron Highlands mempunyai tarikan unik yang mampu menawan pelancong dalam dan luar negara.
“Cameron Highlands menawarkan gabungan landskap hijau ladang teh, taman bunga, hasil segar tempatan dan aktiviti rekreasi yang mudah diakses. Ia menjadi pilihan utama bagi mereka yang mencari ketenangan jauh dari hiruk-pikuk kota.
“Cameron Highlands sememangnya terkenal dengan iklim nyaman, ladang teh yang terhampar luas serta aktiviti luar seperti mendaki bukit dan meneroka perkampungan tradisional,” katanya.


Sektor pelancongan luar bandar dilihat berpotensi besar menyumbang kepada ekonomi negara selaras dengan usaha Malaysia mempromosikan Tahun Melawat Malaysia 2026.
Agoda kini menawarkan lebih enam juta pilihan penginapan di seluruh dunia, 130,000 laluan penerbangan dan 300,000 aktiviti pelancongan yang boleh ditempah secara gabungan melalui aplikasi mudah alihnya. - DagangNews.com








