Camaroe terima kelulusan Bursa Malaysia untuk disenaraikan di Pasaran ACE | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Camaroe terima kelulusan Bursa Malaysia untuk disenaraikan di Pasaran ACE

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 16 Julai – Camaroe Berhad kumpulan akuakultur bersepadu yang mengkhususkan penternakan dan pemprosesan udang harimau telah menerima kelulusan daripada Bursa Malaysia Securities Berhad pada 26 Mei 2025 untuk disenaraikan di Pasaran ACE Bursa Malaysia. 

 

Tawaran Awam Permulaan (IPO) itu bertujuan meningkatkan kapasiti pemprosesan, kecekapan operasi serta menyokong pertumbuhan jangka panjang melalui penambahbaikan infrastruktur.

 

Pengarah Urusan Camaroe, Teoh Han Boon berkata, kelulusan yang diterima adalah permulaan penting dalam transformasi syarikat daripada pengusaha kecil kepada pembekal udang harimau bersepadu.

 

“Dengan asas kukuh dalam penternakan dan kemampuan pemprosesan yang semakin berkembang, IPO ini akan membolehkan kami meningkatkan kapasiti pengeluaran, melengkapkan operasi dengan teknologi baharu dan memperkukuh kualiti produk melalui penubuhan jabatan bioteknologi,” katanya dalam kenyataan.


Ditubuhkan pada tahun 2009, Camaroe berkembang daripada hanya empat kolam kepada 138 kolam di lima ladang udang pesisir pantai serta sebuah kilang pemprosesan khusus di Kapar, Selangor. 

 

Kumpulan ini mengendalikan pemprosesan udang harimau hidup dan sejuk beku dalam bentuk kepala dan kulit serta udang kupas. 

 

Produk mereka dipasarkan kepada pembeli antarabangsa di China, Korea Selatan dan Taiwan, serta pemborong tempatan.

 

Struktur IPO Camaroe melibatkan terbitan 99.0 juta saham baharu dan tawaran untuk jualan sebanyak 49.5 juta saham sedia ada.

 

Sebanyak 24.75 juta saham atau 5% daripada modal diterbitkan selepas IPO diperuntukkan kepada pelabur awam, termasuk 2.50% kepada pelabur Bumiputera.

 

Sebanyak 12.38 juta saham atau 2.5% pula diperuntukkan kepada pengarah, pengurusan kanan dan kakitangan manakala sebanyak 61.87 juta saham atau 12.5% diperuntukkan kepada pelabur Bumiputera yang diluluskan oleh Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI).

 

Selain itu, 49.5 juta saham atau 10% daripada modal diterbitkan selepas IPO ditawarkan melalui penempatan persendirian kepada pelabur terpilih.

 

Dalam pada itu, Pengarah Urusan M & A Securities Sdn Bhd, Datuk Bill Tan berkata, kekuatan infrastruktur dan model bersepadu Camaroe meletakkan syarikat dalam kedudukan strategik untuk memanfaatkan permintaan global yang semakin meningkat terhadap makanan laut premium.

 

“Keupayaan Camaroe untuk mematuhi piawaian kualiti tempatan dan antarabangsa menjadikannya calon penyenaraian yang kukuh di Pasaran ACE,” ujarnya.

 

Sebahagian daripada hasil IPO akan digunakan untuk membina kilang pemprosesan Baharu di Bukit Raja, pembelian mesin dan peralatan, serta pemasangan panel solar bagi menyokong kelestarian operasi. 

 

Kumpulan turut merancang menubuhkan jabatan bioteknologi bagi memperkukuh inovasi dalam penternakan dan meningkatkan keberkesanan operasi ladang.

 

Dengan asas perniagaan yang kukuh, jejak eksport yang meluas dan pelaburan masa depan yang strategik, Camaroe yakin dapat meraih pertumbuhan jangka panjang dalam sektor akuakultur dan makanan laut serantau.

 

M & A Securities Sdn Bhd merupakan penasihat utama, penaja, penaja jamin dan ejen penempatan bagi penyenaraian ini.- DagangNews.com