KUALA LUMPUR 29 Ogos – Camaroe Berhad, kumpulan akuakultur bersepadu yang mengkhususkan dalam penternakan dan pemprosesan udang melancarkan tawaran awam permulaan (IPO) pada harga 14 sen sesaham di Pasaran ACE Bursa Malaysia.
Pengarah Urusan Camaroe, Teoh Han Boon berkata, syarikat menyasarkan pengumpulan dana sebanyak RM13.86 juta yang akan disalurkan kepada operasi dan mengembangkan perniagaan.
“Daripada jumlah itu, RM6.89 juta diperuntukkan bagi pembinaan kilang pemprosesan baharu di Bukit Raja, RM730,000 bagi pembelian mesin dan peralatan dan RM390,000 untuk pemasangan panel solar.
“Selain itu, RM1 juta akan digunakan untuk menubuhkan jabatan bioteknologi, RM960,000 untuk modal kerja dan RM3.9 juta lagi untuk perbelanjaan penyenaraian,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
IPO itu merangkumi terbitan awam sebanyak 99 juta saham baharu di mana 24.75 juta saham diperuntukkan kepada orang awam Malaysia, 12.38 juta saham untuk individu yang layak manakala 61.88 juta saham ditawarkan kepada pelabur Bumiputera yang diluluskan melalui penempatan persendirian.
Beliau berkata, IPO tersebut menjadi pemangkin kepada strategi pertumbuhan syarikat yang berasaskan inovasi, kelestarian dan penyelidikan.
“Daripada ladang akuakultur kepada pembekal udang harimau hitam bersepadu yang menembusi pasaran Asia Pasifik, kami telah membina asas yang kukuh dan perniagaan yang berskala besar.
“IPO ini akan menyediakan modal penting untuk memodenkan infrastruktur hiliran, mengukuhkan R&D serta memperluas amalan mampan, sekali gus meletakkan Camaroe sebagai jenama udang serantau yang dipercayai,” katanya.
Sementara itu, Timbalan Ketua Kewangan Korporat M & A Securities Sdn Bhd, Danny Wong berkata, pencapaian Camaroe menggambarkan keupayaan syarikat untuk menyesuaikan diri dan berinovasi dalam industri yang kompetitif.
“Dengan jejak operasi yang kukuh, pangkalan pelanggan antarabangsa mantap serta rancangan pengembangan jelas, Camaroe berada pada kedudukan baik untuk meraih manfaat daripada pertumbuhan pasaran udang harimau hitam.
“IPO ini bakal menjadi pemangkin transformasi strategik dan pertumbuhan jangka panjang syarikat,” katanya.
M & A Securities Sdn Bhd bertindak sebagai penasihat utama, penaja, penjamin serta ejen penempatan bagi IPO tersebut. - DagangNews.com








