KUALA LUMPUR 3 Julai – Pengguna masih perlu membayar caj standard apabila membuat pengeluaran tunai di mesin juruwang automatik (ATM) yang tidak dikendalikan oleh bank, meskipun pengecualian caj RM1 bagi pengeluaran tunai antara bank telah berkuat kuasa mulai 1 Julai 2026.
"Untuk penjelasan, pengecualian caj ini hanya terpakai kepada ATM yang dikendalikan oleh bank-bank di seluruh negara. Caj standard masih boleh dikenakan bagi transaksi di ATM yang tidak dikendalikan oleh bank," kata kenyataan yang dikeluarkan hari ini.
Kenyataan tersebut dikeluarkan oleh Persatuan Bank-Bank Dalam Malaysia (ABM), Persatuan Institusi Perbankan dan Kewangan Islam Malaysia (AIBIM), Persatuan Institusi Kewangan Pembangunan Malaysia (ADFIM) serta Payments Network Malaysia Sdn. Bhd. (PayNet)
Menurut kenyataan bersama itu, ATM yang dikendalikan oleh bank boleh dikenal pasti melalui paparan nama dan logo sebuah bank pada bahagian luar mesin serta pada skrin ATM.
Sebaliknya, ATM bukan bank lazimnya memaparkan logo beberapa bank dan caj standard mungkin masih dikenakan bagi setiap transaksi pengeluaran tunai.
Pengecualian caj RM1 itu dilaksanakan sebagai inisiatif industri perbankan untuk membantu meringankan kos sara hidup rakyat di samping meningkatkan akses serta kemudahan kepada perkhidmatan perbankan harian.
Sebelum ini, pelanggan dikenakan caj RM1 setiap kali membuat pengeluaran tunai di ATM milik bank lain.
Dengan pelaksanaan inisiatif tersebut, caj berkenaan dimansuhkan bagi semua ATM yang dikendalikan oleh bank di seluruh negara.
Menurut kenyataan itu, langkah tersebut turut mencerminkan komitmen industri perbankan untuk membangunkan sistem kewangan yang lebih inklusif dan mudah diakses, dengan mengutamakan keperluan harian rakyat.
Sejak bermula 1 Julai lalu, pengecualian caj RM1 bagi pengeluaran tunai antara bank melalui ATM berjalan dengan lancar. - DagangNews.com








