Cahya Mata lantik syarikat China, Sinoma bina loji klinker RM673 juta di Sarawak | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Cahya Mata lantik syarikat China, Sinoma bina loji klinker RM673 juta di Sarawak

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 22 Julai - Cahya Mata Cement Sdn Bhd, anak syarikat milik penuh Cahya Mata Sarawak Bhd telah menandatangani kontrak bernilai RM673 juta dengan Sinoma Industry Engineering (M) Sdn Bhd bagi membina barisan pengeluaran klinker baharu di Loji Integrasi Mambong.

 

Kontrak kejuruteraan, pemerolehan, pembinaan dan pentauliahan (EPCC) itu diberikan kepada Sinoma, anak syarikat kepada Tianjin Cement Industry Design and Research Institute Co Ltd dari China, selepas Cahya Mata mendapat kelulusan daripada Pihak Berkuasa Perancang Sarawak.

 

 

 

 

 

 

Barisan klinker baharu yang dikenali sebagai Mambong Clinker Line 2 itu akan mempunyai kapasiti pengeluaran sebanyak 6,000 tan sehari dan dijangka siap dalam tempoh 21 bulan. 

 

Pengarah Urusan Kumpulan Cahya Mata, Datuk Seri Sulaiman Abdul Rahman Taib berkata, projek itu bakal meningkatkan kapasiti klinker tahunan syarikat daripada 900,000 tan metrik kepada 1.9 juta tan metrik.

 

Beliau berkata, pembangunan loji itu adalah langkah strategik dalam mengukuhkan rantaian bekalan simen Sarawak serta mengurangkan kebergantungan terhadap klinker import.

 

“Loji berteknologi tinggi itu akan dilengkapi sistem penjanaan tenaga daripada haba buangan sehingga 6 megawatt dan sistem penapisan habuk canggih yang dapat mengurangkan pelepasan habuk lebih 50 peratus di bawah had peraturan semasa.

 

“Loji tersebut turut akan menggunakan peralatan berkecekapan tinggi bagi mengurangkan penggunaan tenaga dan pelepasan karbon dioksida, selain beralih kepada bahan api dan bahan mentah alternatif tempatan bagi mengurangkan kebergantungan kepada bahan api fosil.

 

“Pada kemuncak fasa pembinaan, projek ini dijangka mewujudkan sehingga 500 peluang pekerjaan dan memberi kesan limpahan ekonomi kepada perniagaan tempatan khususnya di kawasan Padawan dan Kuching,” katanya dalam satu kenyataan.

 

t

 

Pembiayaan projek akan dilaksanakan melalui gabungan dana dalaman dan pembiayaan luar.

 

Cahya Mata ketika ini mengendalikan tiga loji pengisaran simen di Kuching dan Bintulu serta terminal pengedaran di Sibu dan Miri, selari dengan strategi syarikat membina rantaian bekalan simen bersepadu di Sarawak.- DagangNews.com