KUALA LUMPUR 12 Sept –UEM Sunrise Berhad, pemaju hartanah terkemuka negara, menyemarakkan semangat patriotik dengan menganjurkan “Cabaran Merdeka 68” di SIREH Park, taman rekreasi komuniti hijau terbesar di Johor baru-baru ini.
Lebih 350 pengunjung hadir menyertai acara yang menampilkan cabaran ketahanan melibatkan 68 peserta.
Laluan mencabar itu menggabungkan pelbagai disiplin termasuk berbasikal jalan raya, larian denai, berkayak, berbasikal lasak, berenang, larian santai bersama pelajar sekolah serta perlumbaan kerusi roda.
Paling istimewa ialah acara simbolik apabila peserta membawa kapsul berisi Jalur Gemilang sepanjang laluan, sebagai lambang perpaduan, ketabahan dan kebanggaan terhadap perjalanan Malaysia sebagai sebuah negara.
Selain itu, acara turut dimeriahkan dengan Perarakan Merdeka, persembahan tarian tradisional, deklamasi puisi, pertandingan kostum patriotik dan pertunjukan budaya, menzahirkan semangat kebersamaan rakyat Malaysia.


Ketua Sireh Park, Faisal Mohd Nor berkata, cabaran itu menggambarkan perjalanan Malaysia yang penuh kepelbagaian dan cabaran, namun berlandaskan semangat perpaduan.
“Kami berbangga menyediakan ruang untuk orang ramai berkumpul, berhubung dan meraikan kebersamaan,” katanya dalam satu kenyataan.
Sireh Park seluas 343 ekar yang dahulunya ladang kelapa kini dipulihara sebagai kawasan biodiversiti, ruang rekreasi keluarga serta pentas aktiviti komuniti.
Ia adalah sebahagian daripada komitmen UEM Sunrise terhadap pembangunan perbandaran mampan dan pemerkasaan komuniti.
Sebagai nadi koridor hijau Iskandar Puteri, Sireh Park dijangka terus menjadi pusat pengalaman inklusif berorientasikan komuniti yang menyatukan masyarakat serta memperkukuh kesejahteraan bersama.- DagangNews.com









