KUALA LUMPUR 31 Julai – CAB Cakaran Corporation Bhd menerusi anak syarikat milik penuhnya, CAB Cakaran Sdn Bhd memeterai perjanjian bersyarat untuk mengambil alih keseluruhan kepentingan ekuiti dalam syarikat pengeluar makanan ternakan, Cargill Feed Sdn Bhd pada nilai tunai RM231 juta.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, syarikat itu berkata, perjanjian pembelian saham itu dimeterai bersama Cargill Holdings (Malaysia) Sdn Bhd, pemilik semasa Cargill Feed yang mengeluarkan pelbagai makanan kompaun komersial untuk haiwan ternakan dan akuatik.
“Cargill Feed memiliki operasi pengilangan di Westport, Butterworth, Melaka dan Sabah dengan kapasiti pengeluaran tahunan sekitar 400,000 metrik tan.
“Bagi tahun kewangan berakhir 31 Mei 2025, syarikat itu mencatatkan keuntungan selepas cukai sebanyak RM13.78 juta dengan hasil pendapatan RM390.96 juta,” katanya.
CAB Cakaran berkata, pengambilalihan ini akan meningkatkan kawalan terhadap sumber makanan ternakan, komponen penting dalam pengeluaran ayam syarikat.
“Dengan memiliki sendiri pengeluaran makanan ternakan, Kumpulan CAB menyasarkan untuk meningkatkan keterjaminan kualiti makanan, mengurangkan kebergantungan terhadap pembekal luar dan mengurangkan risiko turun naik harga bahan mentah.
“Langkah integrasi ini akan menyokong operasi penternakan sedia ada dan meningkatkan kecekapan perancangan pengeluaran,” jelas syarikat itu.
CAB Cakaran memaklumkan pembelian tersebut akan dibiayai menerusi pinjaman bank berjumlah RM207.9 juta dan dana dalaman RM23.1 juta.
“Langkah ini dijangka memperkukuh lagi rantaian bekalan Kumpulan CAB, selari dengan matlamat jangka panjang untuk mengukuhkan kecekapan operasi dan daya saing dalam industri penternakan,” katanya. - DagangNews.com








