Bursa Malaysia tegur Smile-Link Healthcare kerana langgar peraturan penyenaraian Pasaran LEAP | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Bursa Malaysia tegur Smile-Link Healthcare kerana langgar peraturan penyenaraian Pasaran LEAP

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 28 Julai - Bursa Malaysia Securities Berhad menegur Smile-Link Healthcare Global Berhad secara terbuka kerana melanggar peraturan Keperluan Penyenaraian Pasaran LEAP Bursa Malaysia Securities (LR LEAP).

 

Smile-Link diberi teguran kerana melanggar Peraturan 6.13 LR LEAP kerana gagal mengumumkan penyata kewangan beraudit tahunan bersama maklumat yang dinyatakan dalam Bahagian B Lampiran 6A serta laporan juruaudit dan pengarah bagi tempoh kewangan 18 bulan berakhir pada 30 Jun 2024 (AFS 2024) selewat-lewatnya pada atau sebelum 31 Oktober 2024.

 

Kumpulan itu juga hanya mengumumkan AFS 2024 pada 30 April 2025, iaitu 6 bulan lewat daripada tarikh yang ditetapkan.

 

Smile-Link juga dikehendaki memastikan lembaga pengarahnya menilai dan mengkaji semula kecukupan dan kecekapan sumber kewangan dan perakaunan syarikat serta kecukupan, keterperincian, pelaksanaan dan keberkesanan dasar dan prosedur syarikat berkaitan pelaporan kewangan.

 

"Penemuan pelanggaran dan teguran terbuka terhadap Smile-Link dibuat berdasarkan Peraturan 8.12 LR LEAP setelah proses sewajarnya diselesaikan dan setelah mengambil kira semua fakta dan keadaan kes termasuk materialiti dan impak pelanggaran tersebut.

 

"Bursa Malaysia Securities memandang serius pelanggaran ini kerana penyerahan penyata kewangan tepat pada masanya adalah satu kewajipan asas bagi syarikat tersenarai dan amat penting dalam memastikan pasaran yang teratur dan adil bagi sekuriti yang didagangkan di Bursa Malaysia untuk membantu membuat keputusan pelaburan yang bermaklumat," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

 

Bursa Malaysia Securities turut mengingatkan Smile-Link dan lembaga pengarahnya tentang tanggungjawab mereka untuk mengekalkan tahap tanggungjawab korporat dan akauntabiliti yang sewajarnya kepada pemegang saham dan pelabur awam. - DagangNews.com