KUALA LUMPUR 9 Jan – Bursa Malaysia Securities Berhad mengenakan tindakan disiplin termasuk teguran awam dan denda terhadap Reneuco Berhad serta lima orang pengarahnya berikutan pelanggaran Keperluan Penyenaraian Pasaran Utama (MAIN LR).
Dalam kenyataan hari ini, Bursa Malaysia Securities berkata Reneuco telah ditegur secara awam kerana melanggar peruntukan MAIN LR berkaitan kegagalan mengemukakan laporan tahunan yang mengandungi penyata kewangan beraudit bagi tempoh kewangan 15 bulan berakhir 30 September 2023 (AFS 2023) dalam tempoh ditetapkan.
Menurut Bursa Malaysia, Reneuco melanggar Perenggan 9.23(1) MAIN LR apabila gagal mengeluarkan Laporan Tahunan 2023 (AR 2023) selewat-lewatnya pada 31 Januari 2023, sebaliknya hanya menerbitkannya pada 8 Februari 2024, iaitu lewat lima hari pasaran.
Selain itu, syarikat turut melanggar Perenggan 9.28(3) MAIN LR kerana gagal membuat pengumuman ia tidak dapat mengeluarkan AR 2023 sebelum tarikh akhir, apabila pengumuman hanya dibuat pada 30 Januari 2024, iaitu satu (1) hari pasaran sebelum tarikh luput.
“Bursa Malaysia Securities memandang serius pelanggaran ini kerana penyerahan penyata kewangan tepat pada masanya merupakan kewajipan asas syarikat tersenarai dan amat penting bagi memastikan pasaran yang teratur serta adil,” katanya.
Susulan itu, Bursa Malaysia Securities mengkehendaki Reneuco memastikan semua pengarah (kecuali Ahmad Riza Mohd Saian yang telah bersara) serta kakitangan berkaitan menghadiri program latihan berkaitan pematuhan MAIN LR, khususnya berhubung pelaporan kewangan.
Lembaga Pengarah juga diarahkan menilai semula kecukupan sumber kewangan dan perakaunan serta keberkesanan dasar dan prosedur pelaporan kewangan syarikat.
Dalam masa sama, lima pengarah Reneuco pada tempoh material turut ditegur secara awam kerana melanggar Perenggan 16.13(b) MAIN LR selepas didapati membenarkan kelewatan pengeluaran AR 2023.
Seorang pengarah, Datuk Mustakim Mat Nun selaku Pengerusi Eksekutif, dikenakan teguran awam dan denda RM2,500 manakala empat pengarah lain iaitu Sarah Azreen Abdul Samat, Ahmad Riza bin Mohd Saian (bersara pada 29 Ogos 2025), Datuk Dr Muhammad Mahadi Mohamad dan Tan Yee Hou dikenakan teguran awam.
Menurut Bursa Malaysia, penemuan pelanggaran dan pengenaan penalti dibuat di bawah Perenggan 16.19 MAIN LR selepas mengambil kira semua fakta dan keadaan termasuk tahap materialiti pelanggaran, kesannya kepada Reneuco serta pemegang saham, dan peranan serta tanggungjawab para pengarah.
Mengulas latar belakang kes, Bursa Malaysia berkata kelewatan pengeluaran AR 2023 berpunca daripada isu audit yang belum diselesaikan dengan juruaudit luar, sehingga membawa kepada penafian pendapat ke atas AFS 2023 dan seterusnya mencetuskan kriteria Nota Amalan 17 (PN17) apabila laporan itu diterbitkan pada 8 Februari 2024.
“Para pengarah gagal memastikan bukti audit yang mencukupi diberikan kepada juruaudit luar walaupun isu audit telah dibangkitkan kepada Jawatankuasa Audit seawal 12 Oktober 2023, termasuk selepas perubahan tahun kewangan syarikat bagi memberi masa tambahan kepada juruaudit,” katanya.
Bursa Malaysia turut menegaskan tiada perubahan keadaan munasabah yang membenarkan kelewatan tersebut, dan mengingatkan Reneuco serta Lembaga Pengarahnya supaya mengekalkan standard tanggungjawab korporat dan akauntabiliti yang sewajarnya kepada pemegang saham dan pelabur awam. - DagangNews.com








