KUALA LUMPUR 18 Ogos - Bursa Malaysia Securities Bhd mengeluarkan teguran awam dan mengenakan denda berjumlah RM150,000 kepada dua pengarah PIE Industrial Berhad selepas melanggar Keperluan Penyenaraian Pasaran Utama (LR Utama) berkaitan pendedahan maklumat segera dan amalan pendedahan terpilih.
Katanya, kesalahan tersebut berpunca daripada kegagalan PIE Industrial untuk membuat pengumuman segera berkenaan penganugerahan kontrak perniagaan utama kepada anak syarikatnya, Pan-International Electronics (Malaysia) Sdn Bhd, pada Mac 2024.
Kontrak berkenaan dijangka menjana hasil RM2.5 bilion bagi tahun kewangan 2025 (FY25) hingga FY26, namun hanya diumumkan kepada pasaran pada April 2024, meskipun maklumat telah didedahkan lebih awal kepada penganalisis dan media secara terpilih.
"Akibat pendedahan terpilih itu, harga saham PIE telah melonjak sebanyak 47% dalam tempoh dua hari, daripada RM3.80 pada 16 April 2024 kepada RM5.57 pada 18 April 2024.
"Lonjakan dramatik ini berlaku sebelum pelabur awam lain mengetahui tentang berita penting berkenaan. Syarikat itu hanya membuat pengumuman rasmi mengenai perolehan pelanggan baharu pada 19 April 2024 dan mengumumkan jangkaan hasil pada 23 April 2024, selepas dihubungi oleh pihak Bursa Malaysia," katanya dalam satu kenyataan.
PIE Industrial tidak mempunyai justifikasi yang munasabah untuk pendedahan kontrak tersebut pada 19 April 2024 dan 23 April 2024, terutamanya apabila syarikat telah menerima Surat Penganugerahan pada 7 April 2024 dan kumpulan itu telah mencetuskan kewajipan pendedahan di bawah perenggan 9.03(1) LR Utama, walaupun dokumentasi rasmi masih belum dimuktamadkan.
Pengarah Urusan Mui Chung Meng dan Pengarah Eksekutif Lan Kuo Yi masing-masing telah ditegur dan didenda RM100,000 dan RM50,000 kerana membenarkan pelanggaran tersebut, manakala PIE Industrial turut dikenakan teguran awam.
Bursa Malaysia menegaskan, pendedahan maklumat material secara telus dan tepat pada masanya adalah penting dalam mengekalkan integriti pasaran dan keyakinan pelabur.
Bursa Malaysia mengingatkan PIE Industrial dan lembaga pengarahnya supaya mengamalkan tadbir urus korporat yang lebih bertanggungjawab dan memastikan semua pelabur mendapat akses maklumat secara saksama.- DagangNews.com








