KUALA LUMPUR 22 Mei – Bursa Malaysia memperkenalkan Shares2U, skim pemindahan sekuriti yang membolehkan Organisasi Penyertaan (PO) memberi ganjaran kepada pelabur runcit menerusi saham tersenarai di Bursa Malaysia sebagai sebahagian daripada kempen pemasaran mereka.
Langkah itu mencerminkan pendekatan baharu industri dalam menarik lebih ramai penyertaan pelabur runcit ke pasaran modal tempatan.
Ganjaran dalam bentuk saham diberikan sekiranya pelabur melaksanakan tindakan tertentu seperti membuka akaun Sistem Depositori Pusat (CDS), membuat deposit dana, atau melaksanakan dagangan.
Ketua Pegawai Eksekutif Bursa Malaysia, Datuk Fad’l Mohamed berkata, Shares2U menyokong usaha memperluas keterangkuman dan penyertaan pelabur runcit yang merupakan komponen penting dalam merancakkan pasaran modal.
"Pelabur masa kini, terutamanya generasi muda celik digital, mahukan lebih daripada sekadar akses. Mereka mencari nilai, pengalaman tersendiri, dan penglibatan yang bermakna.
"Shares2U memberi ruang kepada PO untuk memenuhi jangkaan ini serta memperluas penyertaan runcit dengan lebih menyeluruh," katanya dalam satu kenyataan.
Shares2U direka untuk menggalakkan penglibatan pelabur dari pelbagai profil termasuk pelabur baharu, akaun tidak aktif dan juga pelabur aktif, selain membuka peluang kepada PO melaksanakan kempen lebih dinamik dan berasaskan digital.
Pelaksanaan Shares2U melibatkan kerjasama rapat Bursa Malaysia dengan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) bagi memastikan pematuhan garis panduan yang melindungi pelabur, selain rundingan industri melibatkan PO bagi menjamin keberkesanan pelaksanaannya.
Tujuh PO terawal yang akan menggunakan Shares2U dalam kempen masing-masing ialah AmInvestment Bank, CGS International Securities Malaysia, Hong Leong Investment Bank, Kenanga Investment Bank, Malacca Securities, Maybank Investment Bank, dan Moomoo Securities Malaysia.- DagangNews.com








