Bursa Malaysia lancar indeks BMQ dan BMQ-S, tonjol syarikat berkualiti tinggi berasaskan prestasi kewangan | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Bursa Malaysia lancar indeks BMQ dan BMQ-S, tonjol syarikat berkualiti tinggi berasaskan prestasi kewangan

Oleh HAZIQ HAKIMI

KUALA LUMPUR 12 Jan – Bursa Malaysia melancarkan Indeks Kualiti 50 Bursa Malaysia (BMQ) dan Indeks Kualiti 50 Syariah Bursa Malaysia (BMQ-S), iaitu indeks dalaman pertama oleh Bursa Malaysia yang dibangunkan berasaskan prestasi kewangan syarikat tersenarai.

 

Dalam kenyataan hari ini, Bursa Malaysia berkata kedua-dua indeks baharu itu memberi tumpuan kepada syarikat yang menunjukkan ciri kewangan lebih kukuh merangkumi aspek keuntungan, struktur modal dan kualiti pendapatan, berbeza daripada indeks penanda aras utama yang lazimnya menjejaki prestasi berdasarkan permodalan pasaran.

 

Menurut Bursa Malaysia, faktor penilaian bagi BMQ dan BMQ-S diukur melalui Pulangan ke atas Ekuiti, nisbah Hutang kepada Ekuiti serta Aliran Tunai Operasi berbanding Keuntungan Selepas Cukai dan Kepentingan Minoriti.

 

Setiap indeks merangkumi 50 syarikat daripada Pasaran Utama dan Pasaran ACE yang tidak termasuk dalam FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBMKLCI) iaitu penanda aras utama pasaran yang menumpukan sebahagian besar permodalan dan perhatian pelabur.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Bursa Malaysia, Datuk Fad’l Mohamed berkata, pelancaran kedua-dua indeks tersebut merupakan satu pencapaian penting dalam usaha inovasi indeks Bursa Malaysia.

 

“Pelancaran Indeks Kualiti 50 Bursa Malaysia dan Indeks Kualiti 50 Syariah Bursa Malaysia menandakan satu pencapaian penting dalam perjalanan inovasi indeks kami. Kami melihat kemunculan syarikat yang berdaya tahan dari segi kewangan merentas pelbagai sektor, termasuk syarikat teknologi yang membentuk hampir 18% daripada kedua-dua BMQ dan BMQ-S,” katanya.

 

Menurut beliau, indeks berkenaan menyediakan titik rujukan yang mencerminkan landskap pertumbuhan yang lebih meluas, sekali gus memastikan syarikat Malaysia dengan asas kukuh lebih menonjol dan mudah diakses oleh pelabur, di samping menyokong penyertaan yang lebih luas dalam pasaran ekuiti tempatan.

 

Bursa Malaysia berkata kedua-dua indeks menggunakan rangka kerja pembinaan indeks yang sama, dengan BMQ-S hanya merangkumi sekuriti yang diiktiraf sebagai patuh syariah oleh Majlis Penasihat Syariah Suruhanjaya Sekuriti Malaysia.

 

Menurut kenyataan itu, bagi memastikan kesesuaian sebagai penanda aras dan rujukan pelaburan, syarikat terpilih perlu memenuhi keperluan minimum dari segi saiz dan aktiviti dagangan.

 

Bursa Malaysia turut memaklumkan kedua-dua indeks akan disemak dua kali setahun bagi memastikan ia terus mencerminkan keadaan pasaran dan prestasi syarikat semasa, manakala nilai indeks dan maklumat konstituen akan disediakan menerusi laman web rasmi Bursa Malaysia. - DagangNews.com