KUALA LUMPUR 30 April - Bursa Malaysia Bhd diramal berdepan prospek mencabar dalam beberapa bulan akan datang disebabkan aktiviti dagangan yang lebih lemah.
TA Securities berkata, keputusan 1QFY25 Bursa Malaysia yang lebih lemah dipengaruhi oleh ketidaktentuan makroekonomi yang semakin meningkat akibat kebimbangan terhadap tarif dan aliran keluar dana asing yang ketara sepanjang suku tersebut.
Katanya, walaupun pengawal selia pasaran saham itu mengekalkan unjuran untung kasar 2025 antara RM369 juta hingga RM408 juta, perbelanjaan operasi yang lebih tinggi daripada jangkaan dijangka memberi tekanan kepada pendapatan.
TA Securities menurunkan harga sasaran (TP) Bursa Malaysia kepada RM9.10 daripada RM10.30 sesaham tetapi mengekalkan saranan “beli”, dengan menyatakan risiko kenaikan potensi seperti “pengecilan premium risiko” dan “peningkatan selanjutnya dalam dagangan”.
Sementara itu, Hong Leong Investment Bank (HLIB) Research berkata, sentimen pasaran yang lemah telah mula menjejaskan aktiviti dagangan Bursa Malaysia, dengan purata nilai dagangan harian (ADV) jatuh kepada RM2.27 bilion pada April 2025.
“Melihat ke hadapan, kami menjangka ADV kekal suram dalam beberapa bulan akan datang kerana pelabur terus mengamalkan pendekatan berhati-hati dan menunggu perkembangan baharu di tengah ketidaktentuan pasaran semasa,” katanya.
HLIB menurunkan TP Bursa Malaysia kepada RM7.70 daripada RM8.83 sesaham dan mengekalkan saranan “pegang”, sambil menyatakan, walaupun harga saham telah menurun baru-baru ini, profil risiko-pulangannya masih dianggap seimbang.
Begitu juga, MIDF Research kekal berhati-hati, mengekalkan saranan “neutral” dan menurunkan harga sasaran kepada RM7.90 sesaham.
“Kami telah menjangkakan aktiviti dagangan yang kukuh pada 2024 mungkin tidak dapat diulang tahun ini memandangkan peningkatan jangkaan dalam volatiliti, yang menyebabkan penilaian pasaran ekuiti kekal relatif mendatar," katanya.
Walaupun tawaran awam permulaan (IPO) Bursa Malaysia kekal kukuh dengan 14 penyenaraian dicatatkan pada suku pertama, MIDF Research memberi amaran, mencapai sasaran 60 IPO kumpulan itu mungkin sukar dicapai dalam keadaan pasaran semasa.
Kenanga Research turut menyuarakan cabaran pasaran tetapi menyatakan, Bursa Malaysia tetap yakin terhadap sasaran 2025.
Firma penyelidikan itu berkata, walaupun terdapat ketidaktentuan pasaran yang berterusan, terutamanya disebabkan oleh perkembangan tarif perdagangan AS, Bursa Malaysia mengekalkan sasaran untuk 2025, iaitu 60 IPO dengan jumlah permodalan pasaran RM40.2 bilion merangkumi Pasaran Utama, ACE dan Leap; pertumbuhan hasil bukan dagangan sebanyak 5% hingga 7%; dan untung kasar antara RM369 juta hingga RM408 juta.
Kenanga Research mengekalkan penarafan “market perform” dan TP RM7.80 sesaham, menjangkakan aktiviti pelabur akan pulih pada separuh kedua tahun ini apabila dasar perdagangan menjadi lebih jelas. - DagangNews.com








