Bumi Armada kuasai operasi minyak dan gas Blok Kojo di Indonesia | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Bumi Armada kuasai operasi minyak dan gas Blok Kojo di Indonesia

Gambar/Bumi Armada Bhd
Oleh Shamsiah Zulkafli

KUALA LUMPUR 22 Mei - Bumi Armada Bhd melalui anak syarikatnya, Armada Kojo BV (AKBV), menandatangani kontrak perkongsian pengeluaran (PSC) dengan Kementerian Tenaga Indonesia untuk Blok Kojo di Selat Makassar.

 

Menurut syarikat itu, AKBV akan mengendalikan sepenuhnya blok tersebut dengan pegangan 100%.

 

Blok Kojo meliputi kawasan seluas 8,473 kilometer persegi, dengan kedalaman laut antara 50 hingga 1,000 meter. 

 

Berdasarkan penilaian kerajaan Indonesia, kawasan itu dianggarkan mengandungi 90.2 juta tong minyak dan 2.1 trilion kaki padu gas.

 

"Syarikat merancang untuk menjalankan tinjauan seismik baharu untuk menggabungkan data itu dengan maklumat sedia ada bagi menilai potensi pembangunan di kawasan tersebut," kata Bumi Armada dalam makluman di Bursa Malaysia.

 

Ini merupakan kontrak PSC kedua yang dikendalikan syarikat itu di Indonesia selepas Akia PSC.

 

Projek berkenaan seiring dengan rancangan Bumi Armada untuk membangunkan kawasan minyak dan gas di laut menggunakan kemudahan pengeluaran, penyimpanan dan pemunggahan terapung (FPSO), kemudahan gas asli cecair terapung (FLNG) atau saluran paip, dengan memanfaatkan kepakaran syarikat dalam teknologi sedemikian. - DagangNews.com