KUALA LUMPUR 23 April - Bumi Armada Bhd berpotensi mencatatkan pendapatan kukuh bagi suku pertama tahun kewangan 2025 (1QFY25) tetapi diramal mencatatkan penurunan pada suku-suku berikutnya apabila kapal pengeluaran, penyimpanan dan pemunggahan (FSPO) Armada Kraken mengalami penyusutan ketara untuk kadar sewa hariannya.
Maybank Investment Bank (IB) menjangkakan keuntungan bersih teras bagi 1QFY25 berada dalam lingkungan RM200 juta hingga RM250 juta.
Keuntungan dijangka menjadi normal semula dalam suku-suku berikutnya susulan penyusutan sebanyak 70% pada kadar sewa harian bagi kapal FPSO Kraken di Laut Utara UK, apabila ia memasuki tempoh lanjutan kontraknya.
Penyedia perkhidmatan minyak dan gas luar pesisir itu dijadualkan mengumumkan keputusan kewangan suku pertama bagi tahun berakhir 31 Mac 2025 pada bulan Mei 2025.
“Kami menjangkakan suku yang berjalan seperti biasa untuk kumpulan ini dengan keuntungan bersih teras suku tahunan antara RM200 juta hingga RM250 juta, didorong oleh kadar operasi stabil bagi semua aset terapungnya, kecuali berlaku sebarang perubahan kos yang tidak dijangka,” katanya dalam satu nota kajian.
Penganalisis kekal optimis terhadap saham syarikat ini, dengan 10 saranan “beli”, termasuk satu peningkatan oleh Hong Leong Investment Bank (HLIB) daripada penarafan “pegang” sebelum ini, menurut data Bloomberg.
Tiga penganalisis memberikan saranan “pegang” ke atas Bumi Armada. Harga sasaran 12 bulan adalah 73 sen, menunjukkan potensi kenaikan sebanyak 58.7% berbanding harga semasa.
Maybank IB mengekalkan saranan “beli” dan harga sasaran 78 sen ke atas saham tersebut, dengan menyatakan jangkaan penambahbaikan berterusan dalam lembaran imbangan, didorong oleh usaha pengurangan hutang kumpulan serta aliran tunai operasi yang kukuh daripada asetnya.
Sehingga akhir Disember 2024, hutang bersih Bumi Armada telah menurun kepada RM2.3 bilion, dengan nisbah gear bersih menurun kepada 0.37 kali, berbanding RM8.7 bilion dan 2.95 kali pada akhir Mac 2020.
Trend positif ini dijangka berterusan, disokong oleh aliran tunai operasi yang kukuh, yang seharusnya membantu kumpulan mengurangkan kos pembiayaan dan mewujudkan ruang kewangan untuk memenangi projek baharu dan usaha niaga masa depan, kata Maybank IB.
Firma penyelidikan itu berkata, kemenangan kontrak baharu bagi model sewa dan operasi (lease-and-operate, L&O) FPSO boleh bertindak sebagai pemangkin penilaian semula, membantu menambah semula buku pesanan Bumi Armada dan meningkatkan keterlihatan pendapatan.
Saham Bumi Armada telah merosot lebih 31% sejak awal tahun ini, tertekan oleh harga minyak yang lebih lemah disebabkan peningkatan bekalan oleh Opec+, pertumbuhan ekonomi global yang perlahan, dan ketegangan perdagangan berterusan yang menyumbang kepada lambakan bekalan dan permintaan yang lemah. - DagangNews.com








