KUALA LUMPUR 22 Sept - Gamuda Berhad menyasarkan peningkatan buku tempahan antara RM50 bilion hingga RM55 bilion menjelang akhir 2026 selaras dengan rancangan pengembangan syarikat di pasaran domestik dan antarabangsa, kata penganalisis.
RHB Research berkata, buku tempahan Gamuda dilihat mampu mencecah sekitar RM45 bilion pada ahir tahun ini dan bagi mencapai sasaran baharu itu, kumpulan itu perlu menambah kontrak baharu antara RM20 bilion hingga RM25 bilion pada tahun hadapan.
Katanya, sasaran itu realistik memandangkan Gamuda kini sedang membida projek bernilai hampir RM50 bilion dengan jumlah tersebut merangkumi kira-kira RM10 bilion di Malaysia, RM30 bilion di Australia, serta RM10 bilion lagi dari Singapura dan Taiwan.
"Antara projek utama yang berpotensi menyumbang kepada pertumbuhan buku pesanan termasuk Direct Sunshine Coast Rail Line di Australia (anggaran kos AU$5.5 hingga AU$7 bilion), Hunter Transmission Project (AU$1.1 bilion), serta Capricornia Energy Hub (anggaran AU$1.5 bilion bagi bahagian Gamuda).
"Di Malaysia, syarikat dijangka mendapat manfaat daripada pembangunan pusat data di tanah seluas 157.4 hektar di Negeri Sembilan," katanya dalam satu nota kajian.
ARTIKEL BERKAITAN: Untung bersih Gamuda cecah RM1 bilion pada FY25, buku tempahan catat rekod RM38 bilion
MBSB Research berkata, buku tempahan kini berjumlah RM38.4 bilion, Gamuda terus mencatatkan satu lagi pencapaian penting untuk tahun keempat berturut-turut dengan merekodkan paras tertinggi baharu.
Katanya, peralihan itu semakin tertumpu kepada projek di Malaysia, yang merangkumi 49.5% atau RM19 bilion daripada jumlah buku pesanan.
Projek di Australia membentuk 20.1% (RM7.7 bilion), manakala projek di Taiwan menyumbang 25.0% (RM9.6 bilion) manakala baki 5.5% (RM2.1 bilion) datang daripada projek di Singapura.
"Pihak pengurusan yakin memperoleh tambahan kontrak baharu bernilai RM10 bilion sebelum akhir tahun ini yang dijangka meningkatkan paras buku tempahan kepada RM40 hingga RM45 bilion selain berpotensi mencecah RM50 bilion menjelang FY26," katanya.
Sementara itu Maybank Investment Bank (Maybank IB) menyemak naik unjuran pendapatan Gamuda sebanyak 3% pada FY26 bagi mencerminkan kemenangan projek pembinaan dan kejuruteraan FY25 yang lebih tinggi daripada jangkaan iaitu RM22.1 bilion (sebelum ini RM18.4 bilion).
Katanya, pertumbuhan pendapatan FY28 sebanyak 21% dijangka disumbangkan oleh penjualan 75% pegangan dalam 75 London Wall.
"Kami menjangkakan margin akan terus berkembang berikutan peningkatan bahagian projek pembinaan domestik. Di bawah senario ‘blue sky’, yang mengambil kira projek Chencharu Close dan kampus pusat data Port Dickson," katanya. - DagangNews.com








