BTM Resources kaji hala tuju baharu guna dana RM21.9 juta susulan penamatan projek biojisim | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

BTM Resources kaji hala tuju baharu guna dana RM21.9 juta susulan penamatan projek biojisim

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 17 Julai – BTM Resources Bhd sedang menilai semula strategi perniagaannya susulan pembatalan projek loji kuasa biojisim baru-baru ini.

 

Ketika ini, syarikat tersebut memiliki dana sebanyak RM21.9 juta hasil terbitan hak yang belum digunakan sejak Januari 2023.

 

Syarikat itu memaklumkan, dana tersebut pada asalnya diperuntukkan bagi pembangunan loji biojisim yang telah dibatalkan. 

 

“Sebarang perubahan terhadap penggunaan hasil terbitan atau kegunaan tanah yang berkaitan mungkin memerlukan kelulusan pemegang saham di bawah Keperluan Penyenaraian Bursa Malaysia.

 

“Langkah kumpulan menarik diri daripada sektor tenaga biojisim dibuat susulan penyerahan semula kelulusan tarif galakan (FiT) kedua kepada Pihak Berkuasa Pembangunan Tenaga Lestari (SEDA).

 

“Tiada lagi projek tenaga boleh baharu aktif di bawah BTM ketika ini,” katanya dalam makluman kepada Bursa Malaysia.

 

Terdahulu, BTM telah membatalkan projek biojisim 10MW pada awal tahun ini susulan penamatan kemudahan pinjaman serta ketidaktentuan pasaran termasuk turun naik harga bahan mentah. 

 

ARTIKEL BERKAITAN BTM batal satu lagi projek loji janakuasa disebabkan kesukaran isu pembiayaan

 

Projek itu sudah menerima kelulusan FiT pada 2020 dan dijangka menjual tenaga kepada Tenaga Nasional Bhd untuk tempoh 21 tahun pada kadar tarif tetap.

 

Bagaimanapun, pembinaan projek tidak pernah dimulakan dan penarikan balik kelulusan itu berkuat kuasa pada 30 April lalu. 

 

Kelulusan FiT kedua yang diterima pada 2022 bagi loji 7MW pula telah digantung sebelum turut diserah kembali baru-baru ini.

 

BTM mengesahkan bahawa keputusan itu dibuat melalui anak syarikat milik penuh, BTM Land Sdn Bhd.

 

Sebagai respon kepada pertanyaan Bursa Malaysia Securities, BTM menegaskan ia masih komited meneroka peluang dalam sektor tenaga boleh baharu dan sedang menilai potensi kegunaan alternatif ke atas tanah-tanah projek berkaitan. 

 

Keputusan muktamad dijangka dalam tempoh tiga bulan akan datang.

 

“Setakat ini, kumpulan telah menanggung kos permohonan dan pematuhan berjumlah kira-kira RM182,000 yang berkaitan dengan projek-projek yang dibatalkan itu. 

 

“Namun begitu, syarikat tidak menjangkakan sebarang kesan kewangan buruk yang material susulan pembatalan projek berkenaan,” katanya. - DagangNews.com