British Airways kembali terbang ke Malaysia selepas terhenti akibat Covid-19 | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

British Airways kembali terbang ke Malaysia selepas terhenti akibat Covid-19

Gambar/FB Detektif Kembara

KUALA LUMPUR 3 April - British Airways (BA) menyambung semula operasinya ke Malaysia selepas terhenti akibat pandemik Covid-19 empat tahun lalu, dengan penerbangan pertama sejak 2021 mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), semalam.

 

Penerbangan BA33 menggunakan pesawat Boeing 787-9, berlepas dari London pada jam 9.10 malam kelmarin waktu tempatan dan tiba di KLIA pada jam 5.20 petang semalam.

 

Susulan pengembalian operasi tersebut, BA kini menawarkan penerbangan terus setiap hari antara London Heathrow (LHR) dan Kuala Lumpur, mengukuhkan lagi kedudukan Malaysia sebagai destinasi utama bagi pelancong dari United Kingdom.

 

Ia dijangka memberi manfaat kepada pelancong perniagaan dan pelancong santai, dengan menyediakan sambungan yang lebih baik antara Malaysia dan Eropah.

 

Kehadiran BA di KLIA juga seiring dengan strategi pemulihan penerbangan Malaysia yang lebih luas, merangkumi usaha menarik lebih banyak syarikat penerbangan antarabangsa dan mengukuhkan status Kuala Lumpur sebagai hab penerbangan serantau.

 

Ia juga dijangka merancakkan pelancongan dan mengukuhkan sambungan laluan antarabangsa ke KLIA, terutamanya menjelang Tahun Melawat Malaysia 2026.

 

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, kerajaan menyasarkan untuk menarik kira-kira 35.6 juta pelancong asing sempena Tahun Melawat Malaysia 2026.

 

ba
Gambar/FB Detektif Kembara

 

"Pengembalian BA ke Malaysia dibuat tepat pada masanya bagi menampung kemasukan pelancong ke negara ini.

 

"Selain pelancongan, laluan ini juga membuka peluang untuk perdagangan dan pelaburan. Dengan perjanjian perdagangan seperti Perjanjian Komprehensif dan Progresif bagi Perkongsian Trans-Pasik (CPTPP), kami menjangkakan kerjasama perniagaan yang lebih erat antara negara kita, sekali gus memperkukuh hubungan dan membuka peluang ekonomi baharu," katanya seperti laporan The Malay Mail.

 

Beliau berkata demikian semasa majlis khas menyambut ketibaan penerbangan BA33 di KLIA, yang turut dihadiri Pemangku Pesuruhjaya Tinggi British ke Malaysia, David Wallace, serta wakil-wakil kanan dari Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB), Tourism Malaysia dan British Airways.

 

BA pada awalnya merancang untuk mengembalikan operasi ke Malaysia pada November 2024, namun ia ditangguhkan ke April 2025 akibat isu penyelenggaraan dengan pesawat Boeing 787 mereka.

 

Laluan London-Kuala Lumpur telah lama dianggap sebagai koridor yang bernilai bagi kedua-dua pelancong perniagaan dan pelancong santai.

 

BA sebelum ini pernah mengendalikan laluan sama sebelum menghentikannya pada tahun 2001, namun disambung semula pada tahun 2015 dan dihentikan sekali lagi pada tahun 2021 akibat pandemik Covid-19.

 

Laluan berkenaan dikendalikan dengan pesawat Boeing 787-9 yang menawarkan empat kelas kabin iaitu ekonomi, premium ekonomi, perniagaan dan kelas pertama.

 

Penerbangan boleh ditempah melalui laman web BA dan platform tiket mereka, dengan tambang bermula dari RM3,667.

 

Penumpang juga boleh menempah sambungan lancar ke lebih daripada 17 lokasi melalui Kuala Lumpur, termasuk destinasi di Australia, New Zealand, Kemboja, Indonesia, Singapura, Thailand dan Vietnam.

 

Malaysia Airlines turut memperluas perkongsian dengan BA, menambah empat laluan AS iaitu Boston, Pittsburgh, Cincinnati dan Portland. - DagangNews.com