BrioHR terima dana RM30 juta perluas teknologi sumber manusia di ASEAN | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

BrioHR terima dana RM30 juta perluas teknologi sumber manusia di ASEAN

Oleh Shamsiah Zulkafli

KUALA LUMPUR 16 Mei - Syarikat teknologi sumber manusia (HR) tempatan, BrioHR, berjaya memperoleh RM30 juta dalam pembiayaan pusingan Siri A bagi mengembangkan perniagaannya di peringkat Asia Tenggara.

 

Pelaburan itu diketuai oleh Openspace Ventures dan turut disertai oleh pelabur lain termasuk Taiwania Hive Ventures, sekali gus menunjukkan keyakinan tinggi pelabur terhadap potensi teknologi Malaysia.

 

Ketua Pegawai Eksekutif BrioHR, Benjamin Croc berkata, dana baharu tersebut akan digunakan untuk memperluas operasi syarikat ke lebih banyak negara dan membangunkan teknologi kecerdasan buatan (AI) bagi memudahkan pengurusan HR syarikat-syarikat.

 

"Peluang mendapatkan pelaburan amat mencabar sejak tahun 2022. Kejayaan ini membolehkan kami membantu lebih banyak syarikat di Malaysia dan ASEAN mengurus sumber manusia secara digital," katanya dalam satu kenyataan.

 

Briohr
Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekuti BrioHR, Benjamin Croc (kanan) dengan pengasas bersama dan Ketua Pegawai Teknikal, Nabil Oudghiri.

 

BrioHR kini digunakan oleh lebih 1,000 syarikat di Malaysia, Indonesia, Singapura dan beberapa negara lain bagi mengurus gaji, pematuhan undang-undang dan penglibatan pekerja secara lebih mudah.

 

Croc turut berkata, kejayaan tersebut membuktikan Malaysia mempunyai bakat hebat dalam bidang teknologi dan mampu melahirkan syarikat yang berjaya di peringkat antarabangsa.

 

Pelabur utama Openspace Ventures, Hian Goh dalam pada itu berkata, BrioHR mempunyai produk yang kukuh dan sesuai untuk keperluan syarikat-syarikat serantau.

 

"Dengan sokongan baharu ini, kami yakin BrioHR akan terus berkembang dan membantu lebih banyak syarikat meningkatkan kecekapan HR mereka," jelasnya. katanya.

 

Malaysia kini giat membangunkan ekonomi digital, dengan sasaran menjadi hab digital ASEAN menjelang 2030. 

 

BrioHR dilihat sebagai antara syarikat penting dalam usaha berkenaan. - DagangNews.com