Bosch, Alibaba perkukuh kerjasama strategik pacu inovasi AI & e-Dagang global | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Bosch, Alibaba perkukuh kerjasama strategik pacu inovasi AI & e-Dagang global

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 2 Sept – Bosch, peneraju global teknologi dan perkhidmatan, memperkukuh langkah transformasi digitalnya dengan menandatangani kerjasama strategik lebih luas bersama Alibaba Group. 

 

Perjanjian itu bakal memacu pembangunan infrastruktur awan, inovasi kecerdasan buatan (AI) serta pertumbuhan e-dagang merentasi pasaran global.

 

Kerjasama dipertingkat ini memberi tumpuan kepada tiga tonggak utama iaitu migrasi awan berskala besar, penyelesaian pintar dipacu AI termasuk automotif generasi baharu, serta peluasan portfolio e-dagang ke rantau Asia Tenggara, Sepanyol dan Amerika Latin.

 

Sinergi Teknologi Dua Gergasi

Ahli Lembaga Pengurusan Bosch merangkap Ketua Pegawai Digital, Dr. Tanja Rückert berkata, gabungan kepakaran Bosch dalam mobiliti, teknologi industri dan barangan pengguna dengan keupayaan Alibaba dalam AI, pengkomputeran awan dan pasaran e-dagang akan membuka peluang lebih luas.

 

“AI terbukti menjadi pemacu inovasi bagi semua sektor Bosch. Kerjasama dengan Alibaba membolehkan kami bukan sahaja meningkatkan kecekapan operasi, tetapi juga memperkenalkan pengalaman pengguna lebih pintar dan bernilai tinggi,” katanya dalam satu kenyataan.

 

Pengerusi Alibaba Group, Joe Tsai pula menegaskan kerjasama tersebut mencerminkan komitmen syarikat untuk memperkasakan perniagaan global dengan teknologi bertaraf dunia.

 

“Bosch mempunyai kepakaran dalam automotif dan peralatan rumah manakala Alibaba menawarkan inovasi AI, awan dan e-dagang. 

 

“Sinergi ini memberi nilai tambah besar kepada pelanggan di seluruh dunia,” katanya.

 

Fokus AI Dalam Automotif

Antara bidang tumpuan utama ialah pembangunan kokpit pintar yang lebih intuitif melalui model multimodal Qwen, selain penerokaan teknologi pemanduan automatik generasi baharu. 

 

Kedua-dua syarikat merancang menguji penyelesaian ini menggunakan infrastruktur AI Alibaba Cloud bagi meningkatkan keselamatan serta pengalaman pemanduan.

 

Di samping itu, Bosch akan memperkukuh strategi e-dagang melalui platform milik Alibaba termasuk Lazada, Miravia dan AliExpress. 

 

Langkah ini dijangka memperluas capaian produk Bosch dari China ke Asia Tenggara, Eropah Selatan dan Amerika Latin.

 

Bosch yang sudah pun bertapak kukuh di platform Tmall sejak 2017, akan memperkenalkan kategori produk baharu dengan sokongan pemasaran digital serta analisis pengguna oleh Alibaba. - DagangNews.com